MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Kononnya membawa perabot tetapi selepas diperiksa ia sebenarnya mengandungi 1,190 karton mercun dan bunga api bernilai hampir RM500,000.
Taktik tersebut dibongkar apabila pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perak memeriksa sebuah kontena berukuran 12.19 meter di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara, Pulau Pinang pada pukul 5 petang, 5 Julai lalu.
Pengarah KDRM Perak, Ab. Hamid Salleh berkata, pemeriksaan dilakukan seleps pihaknya berasa curiga melihat kontena tersebut yang tersadai di pelabuhan berkenaan selama seminggu.
Kaatanya, kontena itu dihantar ke pelabuhan itu dari China dan diikrar kononnya mengandung barangan perabot.
"Selepas diperiksa, kita menemui mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM451,100 manakala cukainya pula mencecah RM293,215. Bahan letupan itu dipercayai hendak diedar di seluruh negara sempena hari raya yang bakal tiba.
"Siasatan awal mendapati dalang yang menyeludup mercun dan bunga api terbabit menggunakan alamat palsu," katanya di sini semalam.
Tambahnya, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak sebenar yang terlibat menguruskan penghantaran kontena tersebut.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Ab. Hamid berkata, pihaknya merampas mercun dan bunga api bernilai RM20,170 dengan cukai dianggar RM13,110 selepas menahan dua lelaki berusia lingkungan 20 dan 40-an bersama sebuah lori di Kamunting, Taiping pada pukul 11.40 malam, 17 Julai lalu.
Katanya, mereka yang menghala ke Simpang, Taiping ditahan berhampiran Plaza Tol Kamunting.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang larangan.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda antara 10 dan 20 kali nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment