IPOH - Seorang kerani merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan bagi memulihkan pendengaran anak perempuannya yang melibatkan kos sebanyak RM77,000.
Nor Aainy Kamal Bashah, 33, berkata, anak keduanya dari tiga beradik, Aleesya Analia Norhaid, tiga tahun, perlu menjalani pembedahan koklear implan dengan segera di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur.
"Pakar Otorinolaringologi di Pusat Perubatan UKM mengesahkan anak saya mengalami kecacatan pendengaran sensori neural di kedua-dua belah telinganya.
"Peluang kejayaan pembedahan itu lebih besar jika dilaksanakan selewat-lewatnya ketika berumur tiga tahun dan Aleesya Analia telah mencapai umur itu pada pertengahan bulan ini," katanya.Dia berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd. Rawi Abdullah di sini semalam.
Nor Aainy yang menetap di Taman Pengkalan Intan di sini memberitahu, keluarganya tidak berkemampuan untuk menampung kos pembedahan itu memandangkan suaminya hanya bekerja sendiri.
Menurutnya, setakat ini, dia yang mempunyai dua anak lain berusia enam tahun dan setahun telah berjaya mengumpul dana RM10,000 hasil sumbangan majikannya.
"Kecacatan pendengaran sensori neural itu juga menyebabkan Aleesya Analia selalu terjatuh kerana sukar mengimbangi badan," katanya.
Nor Aainy berkata, dia sekeluarga mula mengesyaki masalah pendengaran yang menimpa Aleesya Analia selepas anak keduanya itu tidak memberi sebarang respons terhadap bunyi ketika berumur lapan bulan.
Sehubungan itu, dia segera merujuk anaknya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Ogos 2010 namun Aleesya Analia hanya berpeluang menjalani ujian pendengaran kira-kira lapan bulan kemudian.
"Oleh kerana kekurangan pakar di HRPB, masalah pendengaran anak saya kemudiannya dirujuk kepada Pusat Perubatan UKM pada November tahun lalu.
"Aleesya Analia perlu menjalani terapi audiologi dan pertuturan setiap minggu dan kini dia bergantung dengan alat pendengaran yang salah satunya dipinjam daripada HRPB," katanya.
Sehubungan itu, Nor Aainy merayu sumbangan orang ramai dan dia boleh dihubungi di talian 017-272 0930.
No comments:
Post a Comment