Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Seorang pengusaha restoran mendakwa diperdaya oleh seorang anggota
polis supaya menyerahkan wang tunai RM20,000 kononnya sebagai wang
jaminan bagi membebaskan abangnya yang sedang menghadapi tuduhan
mengedar dadah baru-baru ini.
T. Ranjani, 26, mendakwa dihubungi anggota polis berpangkat inspektor untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini dengan membawa wang tunai RM20,000 bagi menjamin abangnya kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 18 Jun lalu.
“Dia juga mengarahkan saya menyediakan pakaian untuk abang saya yang kononnya akan dibebaskan sebaik sahaja wang jaminan dibayar bersama 10 bungkus milo ais.
“Setelah berusaha mengumpulkan wang yang diminta termasuk meminjam dengan kenalan dan menggadai sebahagian barangan kemas, saya dan adik, T. Sathi ke IPD Ipoh,” katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd. Ravi Abdullah.
Ranjani dari Jalan Leong Tian off Jalan Bendahara di sini mendakwa, setelah memberi bungkusan milo ais dan pakaian abangnya, dia dan adiknya diarah pergi ke sebuah bank di sini oleh seorang anggota polis wanita di IPD Ipoh.
Dakwanya, Sathis kemudiannya dihubungi inspektor berkenaan untuk memasukkan wang masing-masing sebanyak RM10,000 ke dua buah akaun di dua bank berlainan.
“Namun selepas pukul 5.30 petang, abang saya masih belum dibebaskan. Saya merasa tertipu telah membuat aduan di Balai Polis Pasir Puteh di sini pada 24 Jun lalu,” katanya.
Abang mangsa berusia 29 tahun didakwa di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang biasanya tidak menawarkan wang jaminan dan kesnya sedang dibicara di Mahkamah Tinggi Taiping.
Sementara itu, Mohd. Ravi menyifatkan, dakwaan Ranjani amat serius dan meminta pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera melakukan siasatan.
“Sama ada ia berunsur rasuah atau penipuan, bagaimana kejadian ini boleh didakwa berlaku di dalam kawasan balai polis,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang dihubungi mengesahkan menerima laporan dan sedang menyiasat aduan Ranjani.
No comments:
Post a Comment