Translate

Thursday, June 9, 2011

Format kejohanan berdasarkan tradisi pemilihan hulubalang Melayu

IPOH - Format Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru yang berlangsung Sabtu ini berdasarkan tradisi pemilihan hulubalang muda Melayu dahulu kala.

Pengarah Kejohanan silat itu, Jak Othman berkata, setiap pasukan bakal diuji dengan empat kategori iaitu aspek bunga silat, tempur tanpa senjata, tempur bersenjata dan serikandi.

“Dalam kategori pertama, peserta akan mempersembahkan bunga silat persatuan masing-masing kerana ia adalah asas kepada seni persilatan.

“Biasanya asal-usul, falsafah dan budaya seni persilatan dapat diketahui daripada jurus bunga silat yang dipamerkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Jak memberitahu, setiap peserta juga akan diuji dalam seni pertempuran tanpa senjata menerusi kategori kedua manakala kategori ketiga pula, peserta diminta bertempur menggunakan senjata.

“Hanya penggunaan senjata warisan Melayu sahaja dibenarkan dan setiap pasukan bebas memilih 245 jenis senjata Melayu yang telah digazetkan.

“Dalam kategori serikandi, peserta wanita bebas memilih salah satu daripada tiga kategori berkenaan untuk dipersembahkan di hadapan juri,” katanya.

Jak berkata, hanya dua minit diperuntukkan bagi setiap kategori dan persembahan tersebut akan dinilai oleh 15 juri pengalaman terdiri daripada guru persilatan seluruh negara.

No comments:

Post a Comment