IPOH - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak dan Persatuan Pembuat dan Penjual Perabot (PFMDA) Perak akan menganjurkan Ekspo Hartanah, Perindustrian dan Perabot (Mapex) selama empat hari bermula Khamis ini.
Pengerusi Rehda Perak, Datuk Francis Lee Yew Hean berkata, ekspo yang mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu bakal berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini.
“Ekspo tersebut merupakan pusat sehenti yang mempamerkan hartanah berupa pembangunan bercampur dan perabot terbaik untuk penduduk sekitar bandar raya ini.
“Sebanyak 29 syarikat terdiri daripada pemaju, ejen hartanah, institusi kewangan dan insurans serta pengusaha perabot terlibat dalam ekspo kali ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Yew Hean menjelaskan, Mapex 2011 juga menawarkan 700 unit pembangunan bercampur yang bernilai RM740 juta yang meliputi rumah teres setingkat dan dua tingkat, rumah berkembar, apartmen, kondominium dan banglo.
Menurutnya, antara pemaju perumahan yang terlibat ialah Golden Palm Marketing Sdn. Bhd., Gopeng Land and Properties Sdn. Bhd. dan Baktipadu Sdn. Bhd.
“Ia turut disertai The Haven Sdn. Bhd., Sunway City (Ipoh) Sdn. Bhd., Pulai Height Sdn. Bhd. dan Kinta Saujana Sdn. Bhd.
“Tumpuan juga diberikan kepada pembeli yang ingin menyertai program ‘Rumah Pertamaku’ dan setiap hartanah dijual pada harga yang kompetitif dan pelbagai tawaran diskaun dan pengecualian mengikut kelayakan,” katanya.
Selain itu, Yew Hean menjelaskan, sebanyak 11 syarikat perabot dan kelengkapan rumah seperti Noa Gallery, Betek Furniture Sdn. Bhd. dan Eastern Decorator turut menyertai ekspo berkenaan.
No comments:
Post a Comment