berita@kosmo.com.my
SERI ISKANDAR – Jagoan silat dari Persatuan Gayong Fattani dinobatkan pendekar bagi kategori bunga silat (solo) pada Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini semalam.
Dr. Aziwahiya Yeop, 39, menjadi pilihan selepas mempamerkan persembahan bunga silat penuh seni yang berjaya menarik perhatian barisan juri berpengalaman.
Beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan piala yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Turut hadir pengarah kejuaraan, Jak Othman, Ketua Pegawai Eksekutif KPerak Implementation & Coordination Corporation, Dr. Ahmad Kamil Mahmood dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.
Terdahulu penganjuran sulung kejohanan tersebut mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 3,000 orang penonton.
Sementara itu, kategori tempur tanpa senjata diungguli pesilat dari Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Negeri Sembilan dan seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan piala.
Pesilat dari Pesaka Perlis pula membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan piala selepas menguasai kategori tempur bersenjata.
Pasangan tunggal bukan Melayu, Ed Chard, 45, dan Scott McQuaid, 35, yang masing-masing dari Australia dan Britain hampir-hampir membuat kejutan apabila dipilih sebagai pemenang tempat kedua kategori tempur bersenjata.
Kelincahan pesilat wanita dari Persatuan Silat Cekak Harimau menjadi pilihan juri untuk dinobatkan sebagai juara kategori serikandi.
Nurul Janatul Atikah Mohd. Azmi, 17, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala.
Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru dianjurkan oleh Homeland Frontier Sdn. Bhd. dengan kerjasama KPerak manakala Kosmo! menjadi akhbar rasmi.
No comments:
Post a Comment