Translate

Wednesday, September 9, 2009

Yamaha sediakan cermin sisi motosikal percuma


IPOH - Sempena Aidilfitri yang bakal tiba, syarikat penjual motosikal tempatan, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (Yamaha Motor) melancarkan kempen keselamatan jalan raya di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini semalam.

Pengurus Tanggungjawab Sosial Korporat Yamaha Motor, A. Kirishnamoorthie berkata, Kempen Balik Kampung Yamaha kali ini disasarkan kepada penunggang motosikal terutamanya golongan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, kempen tersebut diadakan di lima lokasi iaitu kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor; Politeknik Merlimau, Melaka; POU; Politeknik Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Plaza Tol Sunway, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

"Selaras dengan tema kempen tahun ini iaitu ‘Pandang Cermin Sisi, Selamat Ke Destinasi’, kami akan menggantikan cermin sisi motosikal yang rosak secara percuma di lokasi berkenaan bermula hari ini (semalam).

"Selain itu, topi keledar dan baju keselamatan juga akan diedarkan secara percuma kepada penunggang motosikal terpilih," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Keselamatan Balik Kampung Yamaha ke-11 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Perak, Datuk Ramly Zahari di kampus PUO di sini semalam.
Hadir sama ialah Pengarah PUO, Mohamad Jayus Bunasir.
Kirishnamoorthie berkata, selain pemeriksaan motosikal secara percuma, golongan sasaran juga akan diterapkan dengan teknik pemanduan motosikal yang betul dan selamat.

Sementara itu, Ramly berkata, sepanjang awal tahun ini sehingga Mei lalu seramai 326 remaja berusia 16 tahun hingga 25 tahun di Perak maut akibat kemalangan jalan raya.

"Senario itu amat membimbangkan dan ia dikhuatiri meningkat pada musim perayaan ini. Sehubungan itu, saya seru lebih banyak pihak korporat tampil untuk mengadakan kempen keselamatan jalan raya kepada golongan pelajar di negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment