Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
azli.adlan@kosmo.com.my
LENGGONG - Sambutan Aidilfitri tidak bermakna buat pasangan suami isteri warga emas yang hidup dalam keadaan penuh kedaifan dan tanpa bekalan air bersih di Kampung Cherakoh, Durian Pipit dekat sini.
Tanpa dikurnia cahaya mata sepanjang 44 tahun perkahwinan, Bidin Mat, 91, dan Rafeah Karim, 67, menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di sebuah rumah usang di tebing Tasik Raban.
Tambah menyedihkan, sejak lebih setahun lalu, penglihatan Bidin telah hilang dipercayai akibat masalah katarak mata dan dia kini terlantar sakit hampir sepanjang masa.
Rafeah berkata, oleh kerana keuzuran suaminya, mahu atau tidak beliau terpaksa mengerahkan tenaga tuanya untuk mencari rezeki demi sesuap nasi.
"Saya mengambil upah menoreh di kebun getah milik penduduk kampung dan dapatlah kira-kira RM200 sebulan.
"Biasanya minta tolong jiran-jiran beli barang keperluan sebab kami tiada kenderaan dan kedai jauh pula," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherakoh baru-baru ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati bumbung rumah yang didiami pasangan warga emas itu sejak lebih 30 tahun lalu banyak berlubang selain tidak mempunyai tandas kumbahan dan bekalan air bersih.
Menurutnya, selain menadah air hujan, dia juga menimba air tasik berhampiran untuk digunakan sebagai kegunaan harian seperti memasak, membersihkan diri dan beribadat.
Rafeah juga mendakwa didatangi beberapa pengawai Jabatan Kebajikan Masyakarat (JKM) kira-kira setahun lalu namun sehingga kini masih tiada sebarang bantuan dihulurkan.
"Mereka datang buat soal selidik dan ambil gambar kami dan rumah ini. Lepas itu terus senyap sampai sekarang," katanya.
No comments:
Post a Comment