Translate

Wednesday, September 16, 2009

Menara telekomunikasi diarah pindah

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengarahkan supaya menara pemancar milik sebuah syarikat telekomunikasi di Taman Tasek Aman, Bercham di sini dipindahkan kerana tidak memenuhi spesifikasi seperti ditetapkan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, lokasi menara pemancar itu juga didapati terlalu hampir dengan kawasan perumahan.

"MBI akui menara pemancar itu sudah dibina di lokasi itu lebih awal daripada taman perumahan terbabit dan prasarana itu amat penting kepada kelangsungan sistem telekomunikasi khususnya kepada orang ramai di Bercham.

"Namun peraturan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menetapkan menara pemancar perlu dibina sekurang-kurangnya 20 meter dari kawasan perumahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan keputusan ujian pengukuhan tahap radiasi menara dan stesen pemancar telekomunikasi sekitar Bercham oleh Prof. Madya Dr. Md. Zaini Jamaludin daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangunan MBI di sini semalam.

Ujian tersebut dilakukan berikutan rungutan penduduk setempat yang mendakwa kebanyakan menara dan stesen pemancar tersebut tidak selamat dan tidak mematuhi standard pemasangan ditetapkan.

Sehubungan itu, Roshidi memberitahu pengendali menara pemancar telekomunikasi terbabit diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk memindahkan infrastruktur tersebut.

Terdahulu, Md. Zaini memberitahu berdasarkan ujian, kadar radiasi melibatkan lebih 30 menara dan stesen pemancar telekomunikasi di Bercham berada pada tahap minimum, selamat dan dibenarkan.

No comments:

Post a Comment