Translate

Monday, September 28, 2009

Skuad sampah haram MBI berjaya atasi masalah

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Skuad Banteras Sampah Haram yang diwujudkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak sembilan bulan lalu berjaya mengurangkan lokasi haram pembuangan sampah haram di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, lokasi tapak pembuangan sampah haram di sekitar bandar raya ini telah berkurangan sehingga lebih 50 peratus.

"Berbanding lebih 80,000 sebelum penubuhan skuad itu, tapak pembuangan sampah haram telah berkurangan kepada 44,000 pada masa ini," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun Roshidi mengakui MBI kecewa usaha bersungguh-sungguh pihaknya memastikan bandar raya ini bersih dan indah termasuk menubuhkan Skuad Banteras Sampah Haram kurang mendapat kerjasama penduduk setempat.

Beliau berkata, walaupun kebanyakan tapak pembuangan sampah haram terbabit telah dibersihkan berkali-kali tetapi masalah tidak juga selesai kerana segelintir penduduk tetap membuang sampah semula di kawasan tersebut apabila di luar waktu pemantauan.

"Sehubungan itu beberapa pendekatan baru juga telah dibuat seperti lebih fokus kepada kawasan terlalu bermasalah.

"MBI akan pantau kawasan itu hingga 24 jam sampai masalah berkenaan selesai namun kita akui tak boleh kawal seluruh bandar raya ini," katanya.

Roshidi memberitahu MBI juga bercadang untuk meningkatkan kadar kompaun yang dikenakan kepada pesalah sampah daripada RM250 kepada RM1,000.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penduduk bandar raya ini kerana kadar kompaun sebelum ini dikatakan terlalu rendah.

No comments:

Post a Comment