Translate

Thursday, September 3, 2009

Enam ditahan Sidang DUN haram


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Enam individu termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang ditahan pihak polis ketika sedang berarak ke Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini untuk mengadakan 'Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak' semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, tiga ADUN berkenaan ialah Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Setiawan), Khesvinder Singh (DAP-Malim Nawar) dan Chang Ming Kai (PKR-Simpang Pulai).

Turut ditahan ialah seorang jurugambar akhbar berbahasa Cina dan dua penyokong pembangkang kerana ingkar arahan pihak polis supaya bersurai daripada perhimpunan tersebut.

"Mereka ditahan bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Zulkifli berkata, Khesvinder juga telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan ringan dipercayai terjatuh ketika cuba melawan sewaktu ditahan polis.

Katanya, semua tahanan yang dibawa ke Balai Polis Sungai Senam di sini bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, seramai 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bersama kira-kira 100 penyokong berkumpul seawal pukul 9 pagi di Wisma DAP di sini.

Mereka kemudiannya berarak dari bangunan tersebut ke Bangunan Perak Darul Rizduan kira-kira 200 meter dari situ setengah jam kemudian.

Namun, mereka dihalang oleh sepasukan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias sebaik sampai di bawah pokok Jemerlang yang juga dikenali pokok ‘demokrasi’ setelah hampir 100 meter berarak.

Setelah dihalang polis, ADUN pembangkang terbabit me nukar lokasi ‘Sidang DUN’ yang dipengerusi bekas Speaker DUN Perak, V. Sivakumar di Hotel Heritage di sini.

‘Sidang DUN’ tanpa perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di dewan hotel itu merupakan kali kedua dilaksanakan pembangkang selepas Sidang DUN tergempar di bawah pokok Jemerlang pada 3 Mac lalu.

Sivakumar disingkir daripada jawatan Speaker DUN Perak dan digantikan dengan Datuk R. Ganesan yang juga bekas ADUN Sungkai pada Sidang DUN ke-12 pada 7 Mei lalu.

No comments:

Post a Comment