Translate

Wednesday, February 15, 2017

Tahap kesihatan mental bekas tentera mengamuk diperiksa

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu akan memeriksa tahap kesihatan mental bekas tentera yang mengamuk sehingga mencederakan seorang anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada kejadian itu berpunca daripada masalah mental yang dihidapi suspek sejak 10 tahun lalu.

“Kita akan mendapatkan rekod penyakit mental suspek yang turut menjadi punca perkhidmatannya sebagai askar ditamatkan pada tahun 2007 daripada Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat.

“Kepastian perlu dilakukan sama ada suspek telah bebas daripada penyakit mental yang dihidapinya atau berada dalam keadaan tidak waras sewaktu melakukan serangan itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rosli memberitahu, beberapa ahli keluarga suspek juga akan dipanggil untuk memberi ke­terangan berhubung tahap ke­sihatan mental terkini lelaki itu.

Menurutnya, sebelum ini, tiga anggota RAMD yang terlibat dalam serangan itu termasuk mangsa telah memberi keterangan berhubung insiden tersebut.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang bekas askar tiba-tiba mengamuk di hadapan Kem Seri Pantai, Seberang Takir hingga menyebabkan anggota tentera yang melakukan tugas-tugas me­ngawal di kem tersebut cedera akibat ter­kena torehan pisau suspek.

Siasatan polis mendapati suspek mempunyai rekod penyakit mental sekali gus menolak kaitan kejadian itu dengan kumpulan militan Daesh.

No comments:

Post a Comment