Translate

Sunday, February 12, 2017

T-Team tampil dengan semangat baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD T-Team bakal bertandang ke Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini bagi menghadapi Melaka United dengan motivasi tinggi selepas meraih kemenangan sulung minggu lalu.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, kejayaan menewaskan Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu lalu telah membangkitkan moral pemain-pemainnya.

“Saya telah mengkaji corak permainan Melaka United pada dua perlawanan sebelum ini bagi mendapat input berguna merangka taktikal dan strategi yang bakal digunakan pada perlawanan itu nanti.

“Kita yakin dapat memerangkap skuad Melaka United dan pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata,” kata Rahmad kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Begitu pun, Rahmad sedar cabaran yang perlu dihadapi skuad T-Team yang juga dikenali sebagai The Titans agak berat memandangkan Melaka United memiliki barisan pemain yang berkualiti pada musim ini.

Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, skuad Sang Kancil itu juga sudah pasti memiliki semangat tunggi untuk melakar kemenangan pertama mereka di hadapan penyokong sendiri.

“Kita perlu ingat, ini aksi sulung Melaka United di laman sendiri pada musim ini dan sudah pastinya semangatnya sangat membara. Oleh itu, pemain T-Team perlu sentiasa fokus di atas padang dan mengikut taktikal yang telah direncana bagi mencapai sasaran memperoleh mata pada aksi malam esok (malam ini),” katanya.

Dalam perkembangan sama, The Titans mendapat ‘tonik’ tambahan apabila menerima tajaan RM100,000 daripada GLE Centre Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar produk minuman Kopi Super Jantan.

Pengarah Urusan GLE Centre berkata, ia merupakan tahun kelima syarikatnya yang berpangkalan di Bukit Payung, Marang, Terengganu menaja kelab T-Team sejak 2013.

“Kita menaruh kepercayaan penuh kepada kemampuan T-Team untuk bersaing dalam Liga Super musim ini. Tajaan tahun ini juga telah ditingkatkan kepada RM100,000 berbanding RM75,000 pada tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment