Translate

Wednesday, November 16, 2022

Impi bertemu arwah rakan baik sebelum dikhuatiri lemas

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang kanak-kanak lelaki, Mohamad Aiman Asyraf Shahrulzaman, 11, yang dikhuatiri lemas di Pantai Marina, di sini kelmarin sempat me­nyatakan hasrat mahu berjumpa rakan baiknya yang meninggal dunia baru-baru ini.

Ibu mangsa, Haslina Yusoff, 48, berkata, anak ketujuh daripada lapan beradik itu kerap meluahkan perasaan itu sejak akhir-akhir ini.

“Dia (Mohamad Aiman Asy­raf) sering beritahu kawan-kawan amat rindukan arwah Azim, 15, dan mahu bertemu dengan rakan baiknya itu yang terkorban dalam kemalangan jalan raya kira-kira tiga bulan lalu.

“Saya juga perasan anak saya gemar mengaji al-Quran sejak seminggu lalu. Dia sering membuka video di YouTube dan me­ngaji bersama-sama walaupun berada di dalam kereta,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Pantai Marina, di sini semalam.

Terdahulu, Mohamad Aiman Asyraf yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai dikhuatiri lemas setelah dibawa arus deras ketika mandi di kawasan alur sungai berhampiran Pantai Marina pada pukul 3 petang kelmarin.

Haslina berkata, dia dan suami, Shahrul Zaman Saparuddin 51, yang berada di rumah hanya mengetahui kejadian itu pada pukul 5 petang.

“Pada pukul 12.30 tengah hari, dia (mangsa) minta izin mahu mandi hujan di depan rumah, tahu-tahu dia dan kawan-kawan sekolah sudah berbasikal ke pantai terletak kira-kira lima kilometer.

“Mulanya dua rakannya yang ikut mandi sungai terus pulang ke rumah dan mahu merahsiakan insiden berkenaan,” katanya.

Katanya, dia dan suami terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum hati mereka luluh apabila berjumpa dengan selipar dan basikal Mohamad Aiman Asyraf di gigi pantai.


Suri rumah itu berkata, dia tidak pulang ke rumah seharian dan menunggu di lokasi kejadian sejak kelmarin dan berharap bertemu anaknya segera walaupun sekadar jasad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superinten­dan Hanyan Ramlah berkata, operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak terbabit dilaksanakan dengan bantuan 50 anggota pelbagai agensi penyelamat.

Beliau berkata, operasi masih diteruskan secara teknik selaman dan pencarian di permukaan air di sekitar lokasi kejadian.

Setakat pukul 4 petang semalam, operasi mengesan ­mangsa masih giat dijalankan. -KOSMO! ONLINE

PRU15: Ahmad Said kecam kempen guna agama keterlaluan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Tindakan segelintir pemimpin Pas mengeluarkan hukum mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka disifatkan amat keterlaluan.

Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengecam pendekatan kempen Pas tersebut yang dikhuatiri boleh mengelirukan dan memecah-belahkan masyarakat khususnya dalam kalangan penganut Islam.

“Sangat keterlaluan kempen (pemimpin Pas) menggunakan agama termasuk menentukan syurga dan neraka pengundi.

“Kita tidak diberi lesen atau tauliah oleh Allah untuk mengkafirkan orang,” katanya ketika ditemui sewaktu bertemu pengundi Parlimen Marang di Kampung Sungai Kerak di sini hari ini.

Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir sebelum ini dalam ceramah politiknya mendakwa sesiapa yang mengundi BN dan PH akan masuk neraka sebelum membuat permohonan maaf pada Jumaat lalu.

Ahmad yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman berkata, kempen melampau menggunakan agama yang pernah memecah-belah rakyat Terengganu pada tahun 1980-an dan 1990-an tidak sepatutnya berlaku lagi pada PRU15.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pula menganggap ketelanjuran Mohd. Shahiful itu sebagai kes terpencil.

Menteri Besar Terengganu berkenaan berkata, penceramah Pas terbabit juga telah menyedari kekhilafannya dan meminta maaf secara terbuka. – KOSMO! ONLINE

Jangan ada lagi manifesto bukan kitab suci

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah memasuki hari ke-10 hari ini sebelum kira-kira 21.17 juta pengundi bakal memuktamadkan pilihan masing-masing pada 19 November ini.

Sebahagian mereka iaitu lebih kurang 26,000 pengundi dalam kalangan kakitangan pasukan keselamatan pula akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam hari pengundian awal yang berlangsung esok.

Seramai 945 calon terma­suk 108 calon bebas bertan­ding merebut 222 kerusi Parlimen, manakala 441 calon pula bertanding di 117 kawasan dewan undangan negeri (DUN) di Perlis, Perak dan Pahang serta Bugaya, Sabah.

Sudah pasti pelbagai pertimbangan akan diambil oleh pe­ngundi sebelum memangkah di kertas undi seperti parti politik, profil calon, prestasi semasa pemerintah, senario ekonomi dan pengaruh keluarga.

Tidak kurang juga mempertimbangkan manifesto parti-parti bertanding terutama bagi lebih 1.4 juta pengundi muda yang pertama kali akan terlibat dalam proses pilihan raya.

Empat blok parti politik utama iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) telah mengemukakan manifesto masing-masing pada minggu lalu.

BN mengemukakan 99 tawaran, PN (234), PH (10) manakala GTA pula tujuh kepada rakyat sekiranya diberi mandat untuk menerajui negara pada PRU15.

Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya umum negara ini, kesemua parti politik terbabit tidak menggunakan terma manifesto dalam mengemukakan janji-janji pilihan raya terbabit.

BN menggunakan terma Pelan Amal dan Usaha (PADU), PN pula Tawaran PN Bersih Stabil (Best), PH (Tawaran Harapan), manakala GTA (Agenda Pembaharuan).

Bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya kecen­derungan parti-parti politik itu disebabkan stigma masyarakat yang buruk terhadap kegagalan PH menunaikan sebahagian janji-janji manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, kebanyakan rakyat memandang sinis terma tersebut apabila kepimpinan PH yang menerajui kerajaan pada masa itu memberi alasan kononnya ‘manifesto bukan kitab suci’ untuk tidak mengotakannya.

“Perkataan manifesto telah dikotori dengan sangat teruk sehingga semua berkaitannya dianggap sekadar janji manis politik yang tidak boleh dipercayai.

“Wujud perasan was-was dalam kalangan majoriti rakyat tentang keikhlasan mana-mana parti politik untuk menunaikan manifesto masing-masing,” katanya.

Sementara itu, penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, rata-ratanya manifesto diumumkan parti-parti politik pada PRU15 kali ini lebih realistik untuk ditunaikan.

Beliau berkata, parti-parti politik dilihat sudah mengambil pengajaran yang berlaku pada penggal PRU14 kerana semuanya kini dalam pernilaian rakyat.

“Jika hendak dibandingkan keempat-empat manifesto yang telah dikemukakan (oleh empat blok parti politik), PH dan BN pa­ling realistik.

“Begitupun ada sebahagian­nya memerlukan huraian lebih jelas bagi memudahkan rakyat memahaminya,” katanya.

Bagaimanapun, Awang Azman mengakui berdasarkan trend terdahulu, tidak lebih 10 peratus pengundi benar-benar membaca manifesto sebelum memutuskan undi mereka dalam pilihan raya.

Jelas beliau, masih ramai kurang cakna untuk mengetahui tawaran-tawaran dikemukakan tersebut dengan lebih terperinci.

“Tidak kurang juga yang lebih suka mendengar retorik dan gosip politik sepanjang tempoh kempen pilihan raya,” katanya.