Translate

Monday, May 24, 2021

Muncul semula selepas empat tahun

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Penduduk Kampung Tepoh di sini gempar apabila seekor buaya tembaga digelar Mamat yang menghilang sejak empat tahun lalu muncul semula di sebuah bekas lombong dengan fizikal lebih besar dan kelihatan ganas.

Kelibat buaya jantan dengan anggaran berat lebih 100 kilogram dan panjang mencecah lapan meter itu dilihat ketika haiwan itu naik ke darat selepas diumpan dengan kepala ayam oleh seorang lelaki sebelum aksi tersebut dirakam dan dimuat naik ke laman Facebook.

Seorang penduduk, Yusof Mohamad, 49, berkata, sebelum ini, ramai menyangka buaya tembaga berusia enam tahun ber­kenaan sudah terlepas ke Sungai Terengganu selepas lama menghilangkan diri.

“(Buaya) Mamat menghilang setelah menggemparkan kami dengan sering timbul di tebing bekas lombong itu pada tahun 2017.

“Dulu memang jinak tetapi kini dengan fizikalnya yang sudah membesar amat merisaukan kami. Kemungkinan buaya ini boleh menjadi ganas selain risiko terlepas memasuki rumah penduduk pada musim tengkujuh,” katanya kepada ­Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan buaya tembaga itu berasal dari Sungai Mangkuk, Setiu, sebelum dipelihara seorang lelaki ketika panjangnya 0.9 meter pada 2014.

Penjaganya yang bimbang dikenakan tindakan penguatkuasaan telah bertindak melepaskan reptilia ganas itu di sebatang anak sungai Bukit Petiti, Manir, Kuala Terengganu tiga tahun kemudian sebelum tersesat masuk ke bekas lombong di kampung lombong berkenaan.

Yusof berkata, sebelum ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan bantuan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) cuba memasang perangkap di bekas lombong itu untuk menangkap Mamat tetapi gagal.

“Sebab itu kami ingat ia telah masuk Sungai Terengganu namun jangkaan kami meleset apabila muncul semula.

Sementara itu, Pengarah APM Terengganu Mohd. Rosman Abdullah berkata, Perhilitan negeri telah melakukan siasatan dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat.

Beliau juga menasihatkan penduduk agar tidak menghampiri bekas lombong itu buat masa ini.

“Buaya tetap reptilia pe­mangsa yang boleh menjadi ganas bila-bila masa dan menjadi ancaman kepada keselamatan orang ramai khususnya penduduk kampung terlibat,” kata­nya. -K! ONLINE

Sunday, May 23, 2021

Mayat nelayan hilang ditemui

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pencarian hari ketiga operasi mencari dan menyelamat oleh Marit Malaysia (APMM) semalam berjaya menemui mayat nelayan yang hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Terengganu pada Rabu lalu.

Mayat Jaafar Sulong, 66, ditemui terapung di perairan Pulau Kapas, Marang pada pukul 10 pagi.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Rahim berkata, mayat lelaki itu dijumpai oleh sekumpulan nelayan yang membantu operasi mencari dan menyelamat.

“Mayat Jaafar ditemui terapung di perairan Pulau Kapas kira-kira 4.7 batu nautika dari lokasi mayat awak-awaknya (Baharuddin) dijumpai pada kelmarin.

“Kapal Maritim (KM) Nusa telah membawa mayat mangsa ke Jeti Maritim Terengganu pada pukul 3.30 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat dan pengecaman ahli keluarga,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan melaporkan Jaafar dan awak-awaknya, Baharuddin Abdullah, 46, yang keluar ke laut menggunakan bot kelas A dikhuatiri hilang di perairan daerah ini selepas mereka tidak pulang ke jeti mengikut jadual ditetapkan Rabu lalu.

Mayat Baharuddin yang berasal dari Ajil, Hulu Terengganu kemudiannya ditemui terapung pada kedudukan 17 batu nautika dari Pulau Kapas, Marang pada Khamis lalu. – K! ONLINE

Sikap penduduk Besut gemar keluar rumah ditegur

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Polis Terengganu menegur sikap segelintir penduduk daerah ini yang masih memandang ringan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, sebahagian daripada 100,000 masyarakat daerah itu didapati masih tidak mengikut nasihat untuk mengurangkan pergerakan sebaliknya masih gemar keluar rumah walaupun untuk urusan tidak penting.

“Berdasarkan maklumat saya dapat di SJR (sekatan jalan raya), ada (individu sama) yang pagi beli telur, tengah hari beli bawang dan petang beli ayam.

“Sepatutnya sepanjang dua minggu tempoh ini, kita kena rancang pembelian barang keperluan, janganlah (beli) secara runcit-runcit,” katanya selepas mengiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memantau perjalanan SJR Seberang Jerteh di sini hari ini.

Roslee berkata, sikap tersebut sedikit sebanyak menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian penularan Covid yang semakin mengganas di daerah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau merayu penduduk di 15 mukim di Besut agar dapat bersabar dan mematuhi sepenuhnya SOP norma baharu sepanjang pelaksanaan PKPD di daerah tersebut sehingga 4 Jun depan.

“Peningkatan kes (Covid-19) di Besut tidak reda lagi, 51 kes baharu (direkodkan) hari ini (semalam). Setakat ini sudah 14 orang meninggal dunia.

“Tanggungjawab untuk memutuskan rantaian (Covid-19) ini bukan hanya pada barisan hadapan tetapi setiap individu, kita jaga kita,” katanya. – K! ONLINE