Translate

Tuesday, August 13, 2019

Gajah maut dirempuh lori muatan bijih besi

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seekor anak gajah yang sedang melintas jalan maut selepas dirempuh sebuah lori membawa muatan bijih besi di Kilometer 44, Jalan Kuala Berang-Aring berhampiran Tasik Kenyir dekat sini malam tadi.

Sewaktu kejadian pada pukul 10.23 malam itu, gajah terbabit di kawasan sedang melintas jalan bersama sekawan haiwan liar daripada spesies sama dari hutan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian lori membawa muatan bijih besi terbabit dalam perjalanan ke Pelabuhan Kemaman dari Gua Musang, Kelantan.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, pemandu lori terbabit yang berusia 32 tahun gagal mengelak sekawan gajah yang tiba-tiba melintas jalan lalu merempuh salah seekor daripadanya.

"Rempuhan itu telah menyebabkan anak gajah terbabit terperosok ke dalam badan lori itu berhampiran tayar hadapannya lalu mati," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.


Mohd. Adli berkata, kemalangan melibatkan gajah berkenaan telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Terengganu. - K! ONLINE

Monday, August 12, 2019

SKMM siasat kes Ana Simon

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat kes penyebaran gambar dan video palsu penganjuran pesta tarian separuh bogel di Pulau Perhentian, Besut yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ia selaras dengan arahan Pejabat Peguam Negara yang mahu kes berkenaan disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

"Kes bakal disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Polis akan membantu SKMM untuk menjejak individu dikenali sebagai Ana Simon yang disyaki bertanggungjawab menyebarkan gambar dan video tarian terbabit menerusi akaun Facebook palsu, Nur Amanina Abdul Razak (Terengganu)," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Cawangan Khas Terengganu antara Senior Asisten Komisioner Zakaria Haron dengan Superintendan Zainol Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini semalam.

Aidi berkata, setakat ini, Ana Simon yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 30-an masih belum tampil untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihak mengambil serius kewujudan pusat hiburan haram di Pulau Perhentian dengan meningkatkan operasi.

"Sebuah 'disko pantai' yang beroperasi tanpa lesen di Pasir Panjang, Besut telah dirobohkan manakala dua pengusahanya ditahan dalam serbuan bersepadu pada Isnin lalu. Polis dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia juga giat membanteras penyeludupan arak di Pulau Perhentian.

"Lesen menjual minuman keras tidak pernah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan kepada mana-mana pengusaha industri pelancongan di pulau peranginan terbabit," katanya.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan Ana Simon diburu kerana disyaki bertanggungjawab menyebarkan gambar dan video palsu penganjuran pesta tarian separuh bogel kononnya anjuran sebuah calet di Pasir Panjang, Pulau Perhentian, Besut.

Pulanglah Nur Izatul Syuhada

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu resah mengenangkan anak perempuannya berusia 14 tahun hilang tanpa dikesan sejak seminggu lalu.

Aminah Mat Taib, 39, berkata, Nur Izatul Syuhada Mohd. Hanafi yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik tidak pulang ke rumah setelah dipercayai keluar dari kediaman mereka di Jalan Panji Alam di sini pada 24 Julai lalu.

"Saya mendapati anak perempuan saya tiada di rumah sewaktu bangun daripada tidur pada pukul 6 pagi, Rabu minggu lalu.

"Sebelum saya masuk tidur pada pukul 10 malam, dia yang ketika itu berpakaian baju T berwarna merah, seluar jean biru dan bertudung hitam masih berada di dalam rumah," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Aminah berkata, berdasarkan maklumat diperolehinya setakat ini, Nur Izatul Syuhada dikatakan telah keluar ke sebuah kedai di Kampung Gong Tok Nasek di sini tanpa memaklumkan kepada dia dan ahli keluarga lain pada pukul 2 pagi.

Ujarnya, ada juga pihak mendakwa anak perempuannya itu telah mengikut seorang individu tidak dikenali dengan menaiki sebuah motosikal Honda Beat berwarna merah.

"Nur Izatul Syuhada tidak pulang ke rumah sejak hari itu dan nombor telefonnya juga gagal dihubungi. Laporan berhubung kehilangan anak saya ini telah dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu di sini pada Khamis minggu lalu.

"Saya rayu anak perempuan saya agar segera pulang ke pangkuan keluarga yang amat merinduinya," katanya.


Aminah berkata, dia juga memohon individu yang mempunyai maklumat atau terserempak dengan Nur Izatul Syuhada agar segera menghubungi polis atau dirinya di talian 011-1297 6946. - K! ONLINE