Translate

Friday, June 9, 2017

TDM tumpu sektor perladangan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Terengganu Development Management Bhd. (TDM), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, ingin memberi tumpuan pada segmen peladangan kelapa sawit bagi memperkukuhkan kewangan Kumpulan menjelang tahun 2022.

Pengerusinya, Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar berkata, kenaikan harga jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) di pasaran telah meningkatkan pendapatan Kumpulan sebanyak 38 peratus pada suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, pendapatan daripada segmen perladangan telah meningkat kepada RM69.3 juta pada suku pertama 2017 berbanding RM50.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Ini disebabkan harga jualan purata MSM dan PK kini masing-masing naik sebanyak RM3,256 dan RM3,204 setiap tan, berbanding RM2,431 dan RM2,103 pada 2016.

“Kenaikan pendapatan syarikat juga didorong oleh pengeluaran MS dan PK yang masing-masing naik sebanyak 4 peratus dan 7 peratus,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) TDM di sini semalam.

Wan Abu Bakar memaklumkan, pihaknya akan terus melabur dalam aktiviti penanaman semula menggunakan susur atur ladang baru bagi mengoptimumkan kepadatan pokok kelapa sawit dalam setiap hektar kawasan ladang.

“Saiz ladang kelapa sawit juga diunjur berkembang kepada 52,000 hektar pada tempoh lima tahun menjelang 2022 berbanding 31,807 hektar pada masa kini,” katanya.

Thursday, June 8, 2017

Mercun bernilai RM24,000 dirampas, operator pengeluaran kilang ditahan


BESUT - Seorang operator pengeluaran sebuah kilang kayu kempunan untuk mengaut 'duit raya' mudah dengan menjual pelbagai mercun bernilai hampir RM24,000 selepas rumahnya diserbu polis di Kampung Kubang Ikan, Jerteh dekat sini semalam.
Serbuan pada 4 pagi itu dilakukan tidak lama selepas lelaki berusia 38 tahun tersebut menerima stok mercun terbabit yang telah dipesan dari Selatan Thailand.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, pemeriksaan pada ruang tamu rumah suspek telah menjumpai 32 guni, 15 kotak dan 10 bungkusan plastik yang mengandungi kesemua ribuan mercun berkenaan.
"Antara mercun yang dirampas ialah mercun bola, mercun roket, Magical Shots, King Boom, Artilley Shells, Happy Boom dan Disco Flash.
"Siasatan awal mendapati suspek mengaku membeli stok mercun itu dari Selatan Thailand dengan harga RM8,000 dan nilai pasarannya boleh meningkat sehingga tiga kali ganda," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini hari ini. - K! ONLINE

Padah palsukan sijil nikah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan tiga lelaki termasuk dua kakita­ngan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima rasuah untuk mengeluarkan surat dan kad perakuan nikah palsu setahun lalu berbalas apabila mereka dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memutuskan hukuman tersebut selepas Mohd. Yazuan Yatim, 32, Mohd. Raduwan Abu Bakar, 44, dan Eirman Yusdie Ahmad Hanafiah, 35, mengubah pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes.

Beliau turut mengarahkan Eirman Yusdie yang menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memalsukan rekod perkahwinan dikenakan tambahan denda RM10,000. Kesemua tertuduh membayar denda yang dikenakan dan mereka menjalani hukuman penjara di Penjara Marang.

Terdahulu, Mohd. Yazuan dan Mohd. Raduwan yang merupakan pembantu operasi JHEAT serta Eirman Yusdie yang bekerja sendiri membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu kes ter­babit pertama kali disebut pada 26 Oktober tahun lalu.
Mohd. Yazuan dan Mohd. Raduwan masing-masing menghadapi satu pertuduhan manakala Eirman Yusdie pula berhadapan dengan dua pertuduhan berhubung pengeluaran surat perakuan dan kad nikah palsu untuk pasangan Muhammad Hasleezam Sabarudin dan Nurzahidah Yacop.

Tertuduh pertama, Mohd. Yazuan didakwa menerima rasuah RM1,300 daripada tertuduh ketiga yang disampaikan oleh Mohd. Raduwan sebagai upah menye­rahkan surat dan kad nikah palsu tersebut di Medan Selera Mydin Mall di sini pada pukul 5.35 petang 19 Jun tahun lalu.

Tertuduh kedua, Mohd. Raduwan pula didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Muhammad Hasleezam sebagai upah untuk menyerahkan dokumen serupa di lokasi dan hari yang sama tetapi pada pukul 12.30 tengah hari.

Eirman Yusdie didakwa turut menerima suapan berupa RM1,300 daripada tertuduh pertama sebagai upah untuk menyediakan dan menyerahkan dokumen berkenaan di Warung Pak Maidin, Pantai Batu Burok di sini pukul 8.40 malam hari yang sama.
Dia juga menghadapi pertuduhan kedua memalsukan rekod perkahwinan Mohd. Hasleezam dan Nurzahidah dengan memalsukan surat perakuan dan kad nikah seolah-olah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pahang di Kampung Paloh dan Kedai Iklan SS Aniwarna Enterprise, Jalan Sultan Omar di sini pada Mei dan Jun lalu.

Kesemua pertuduhan bagi tertuduh pertama, kedua dan ketiga didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Kosmo! pada 21 Jun 2016 me­laporkan, tiga lelaki direman oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran sijil dan akuan nikah palsu pasangan berkahwin di negara jiran.