Translate

Saturday, December 2, 2023

Kompleks Hospital Kemaman baharu siap Ogos tahun depan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kemaman bakal mempunyai kompleks hospital baharu terletak di Bandar Baru Kijal di sini yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos tahun depan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, status pembinaan projek yang menelan belanja RM450 juta itu kini sudah siap 75 peratus.

“Kita harap Hospital Kemaman yang baharu ini dapat beroperasi pada akhir tahun hadapan.

“Ia akan dilengkapi 300 katil dan beberapa klinik pakar, pusat rawatan harian, lapan dewan bedah, unit rawatan rapi dan kecemasan,” katanya selepas meninjau Klinik Kesihatan Air Putih di sini hari ini.

Zaliha berkata, walaupun kompleks Hospital Kemaman yang baharu tersebut akan dibuka kelak, premis hospital sedia ada di bandar Chukai di sini tetap beroperasi.

Jelas beliau, premis tersebut akan berfungsi sebagai pusat rawatan wanita dan kanak-kanak bagi zon selatan Terengganu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan turut telah menaik taraf 58 klinik daif di seluruh Terengganu sepanjang tahun ini melibatkan peruntukan keseluruhan RM8.9 juta.

Beliau berkata, sebanyak 54 daripada 58 klinik daif terbabit telah siap dinaik taraf termasuk Klinik Desa Binjai di sini.

“Baki empat (klinik daif) lagi dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

PRK Parlimen Kemaman: KKM bantu pesakit sedang dirawat di wad hospital mengundi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membantu pesakit berkelayakan yang kini mendapatkan rawatan di dalam wad Hospital Kemaman di sini untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Sabtu ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, KKM akan menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memudahkan pesakit terlibat menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat-pusat pengundian.

Beliau berkata, keupayaan pesakit terbabit untuk turun mengundi tersebut akan bergantung pada tahap kesihatan mereka pada hari pengundian PRK Parlimen Kemaman, Sabtu ini.

“Doktor akan melakukan pemeriksaan (kesihatan) untuk meneliti sama ada (pesakit terbabit) layak atau tidak untuk keluar mengundi.

“Kalau pesakit itu layak (melepasi pemeriksaan kesihatan), kita akan membantu memudahkan mereka mengundi di pusat-pusat pengundian (terlibat),” katanya ketika meninjau Klinik Kesihatan Air Putih di sini hari ini.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK berkenaan termasuk 387 anggota polis, tentera (sembilan) dan pengundi tidak hadir luar negara (12).

Mereka akan mengundi di 49 pusat pengundian yang mengandungi 244 saluran di seluruh kawasan Parlimen ini. – KOSMO! ONLINE

Friday, December 1, 2023

PRK Parlimen Kemaman: 70 peratus dijangka keluar mengundi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada 141,790 pengundi yang layak akan keluar mengundi pada hari pengundian, esok.

Pengerusi SPR, Tan Abdul Ghani Salleh berkata, sasaran itu berdasarkan peratus keluar mengundi di kawasan Parlimen sama pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) yang dilaksanakan pada 12 Ogos lalu.

“Faktor cuaca dan pengundi luar yang dijangka tidak ramai pulang kerana faktor bajet juga mungkin akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi esok.

“Apapun kita berharap peratusan keluar mengundi dapat ditingkatkan kepada 70 peratus,” katanya di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas memantau persiapan terakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di pusat pengumpulan undi terbabit.

Dalam perkembangan sama, Abdul Ghani menasihatkan pengundi agar keluar mengundi awal memandangkan cuaca pada hari pengundian diramal hujan.

Tambah beliau, persiapan rapi telah dilakukan bagi menghadapi kemungkinan banjir terutama di pusat-pusat pengundian di seluruh kawasan Parlimen ini.

“Keputusan PRK Parlimen Kemaman dijangka boleh diumumkan secara rasmi selewat-lewatnya pada pukul 9.30 malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE