Translate

Sunday, November 23, 2025

Tabung Haji bakal umum inisiatif tingkat kadar tabungan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Lembaga Tabung Haji (LTH) akan mengumumkan inisiatif bagi meningkatkan semula reputasi Tabung Haji sebagai institusi tabungan yang berkesan dalam kalangan umat Islam negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif tersebut bakal diumum pengurusan LTH dalam masa terdekat.

“Tabung Haji akan keluarkan kenyataan. Kita yakin dengan kemampuannya sebagai institusi yang menjaga dan diamanahkan (pengurusan haji umat Islam negara ini).

“Kita yakin dengan kemampuan pengurusan Tabung Haji sebagai pengurusan haji terbaik di dunia yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi sendiri,” katanya di Gong Badak di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan program Tanweer Madani anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam memberitahu separuh daripada keseluruhan jemaah haji terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini terpaksa menolak tawaran disebabkan masalah kewangan.

Beliau berkata, antara faktornya ialah 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji mempunyai simpanan kurang RM1,300.

“Peranan Tabung Haji sebagai institusi penabungan mula terkesan kerana kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten apabila perlu bersaing dengan produk pelaburan lain yang lebih menarik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment