Translate

Saturday, November 29, 2025

Buruh tidak mengaku intai usahawan wanita

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan mengintai seorang wanita dan menceroboh inap desa di Banggol Peradong, Manir di sini pada 26 Ogos lalu.

Tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacaka di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Berdasar pertuduhan pertama, dia didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah inap desa di Banggol Peradong, Manir pada pukul 12.30 tengah malam, 26 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh inap desa itu pada tarikh dan masa sama. 

Majistret Noor Mazrinie membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM6,000 dan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 5 Oktober depan.

Sementara itu di mahkamah berasingan, Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak memerintahkan Ahmad Farhan menjalani hukuman penjara enam bulan atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine ke dalam badannya.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 12.15 tengah malam, 11 April 2016.

Tertuduh didakwa mengikut  Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli manakala Ahmad Farhan pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Azlina Jaafar dan Nur Jawahir Muhd. Zulmajdi.

No comments:

Post a Comment