Translate

Thursday, November 20, 2025

STR, Sara ringankan beban keluarga

Oleh MOHD. AZLI ADLAN. NOOR HASLIZA NUSI, ROHANA MOHD. NAWI dan MUHAMMAD ZIKRI

PETALING JAYA - Inisiatif kerajaan meneruskan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun depan dalam pembentangan Belanjawan 2026 kelmarin memberi kelegaan kepada penerimanya untuk mengurangkan kos sara hidup dan dapat berjimat dalam perbelanjaan harian.

Rata-rata yang ditemui melahirkan rasa syukur dengan usaha Kerajaan Madani meneruskan inisiatif tersebut sebagai bantuan kepada rakyat bawahan dan ini membuktikan kerajaan yang ada pada hari ini prihatin dengan nasib rakyat,

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang penerima, Abdul Halim Mazlan, 45, berkata, sebelum ini, dia yang merupakan penerima STR bukan kategori e-Kasih hanya menerima Sara sebanyak RM100 sebulan bermula April lalu.

"Alhamdulillah, saya akan terus menerima Sara RM100 setiap bulan pada tahun hadapan dengan RM100 lagi pada bulan Februari  depan.

"Ia amat bererti untuk membeli sebahagian barangan keperluan keluarga. Apatah bulan Februari itu, kita akan mula berpuasa pada bulan Ramadan," katanya.

Bantuan Sara sebanyak RM100 secara one-off diberikan buat pertama kali kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas pada 31 Ogos lalu, manakala sembilan juta penerima STR menerima Sara sebanyak RM100 sebulan bermula pada 2026.

Satu juta penerima STR di bawah e-Kasih pula menerima Sara sehingga RM200 sebulan.

Di Georgetown, Pulau Pinang, seorang pekerja swasta, Imran Ahmad, 45, berkata, dia yang menerima Sara sebanyak RM100 secara one-off bersyukur apabila kerajaan sekali lagi mengumumkan pemberian bantuan tersebut pada pertengahan Februari tahun depan.

Katanya, bantuan tersebut dilihat sebagai sumbangan kerajaan yang paling bermakna, selain menganggap ia adalah rezeki berganda buat rakyat di negara ini.

Imran berkata, pemberian Sara RM100 sememangnya memberi makna yang besar dalam meringankan perbelajaan isi rumah rakyat.

"Ini menunjukkan langkah prihatin kerajaan dalam membantu rakyat ketika mendepani kos sara hidup yang tinggi ketika ini," katanya.

Dalam pada itu, di Kuantan, Pahang, seorang pekerja swasta, Mohamad Khazeri Hashim, 56, berterima kasih kepada kerajaan Madani yang meneruskan pemberian STR dan Sara yang keduanya memberikan manfaat kepadanya dan juga keluarga.

"Dengan sumbangan ini dapat saya gunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras untuk kegunaan keluarga sepanjang tahun sekali gus meringankan beban dalam menampung kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini," katanya.

Di Kota Bahru, Kelantan, seorang warga emas, Rosnani Mohd. Nawi, 63, berkata, inisiatif Sara yang diteruskan menerusi Belanjawan 2026 membuktikan kerajaan tidak pilih kasih dalam mengagihkan bantuan kepada segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Menurutnya, pembahagian Sara kepada semua pemegang MyKad merupakan satu bentuk bantuan yang adil apabila semua pihak mendapat bantuan tersebut.

"Bantuan itu dapat meringankan perbelanjaan isi rumah yang tidak bekerja dan sudah berpencan untuk membeli barangan keperluan.

"Setiap bulan saya boleh berjimat RM100 menerusi STR untuk membeli barangan dapur," katanya.

Di Pontian, Johor, seorang suri rumah, Hafidah Mustafa, 43, juga bersyukur kerana kerajaan meneruskan bantuan STR bagi meringankan kos perbelanjaan harian termasuk untuk digunakan pada anak-anak yang masih bersekolah.

Katanya, dia mempunyai lima orang anak, seorang lelaki dan empat perempuan yang mana suaminya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

"Sebelum ini, bantuan tersebut digunakan untuk rawatan saya yang menghidapi penyakit tulang rapuh dan seorang anak yang belajar di kelas pendidikan khas yang juga mempunyai penyakit," katanya.

No comments:

Post a Comment