Translate

Sunday, November 30, 2025

BAP talian hayat awal tahun

 

  • Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD. AZLI ADLAN, ABDUL RAZAK IDRIS dan ROHANA MOHD. NAWI

PETALING JAYA – Keputusan kerajaan meneruskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) seba­nyak RM150 kepada 5.2 juta murid sekolah disambut baik ibu bapa yang menyifatkan ia sebagai talian hayat awal tahun untuk menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka. 

Rata-rata ibu bapa yang ditemui Kosmo! Ahad berterima kasih kepada kerajaan yang terus membantu rakyat tanpa mengira had pendapatan bagi mengurangkan kos pembelian kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut, alat tulis dan lain-lain. 

Di Shah Alam, Selangor, seorang kakitangan swasta, Mohd. Hadi Yusairi, 38, melahirkan rasa syukur dengan pemberian BAP tersebut kerana dianggap menjadi suntikan awal untuk persiapan persekolahan anak-anak.

Katanya, dengan tiga anak yang masih bersekolah, perbelanjaan untuk membeli pakaian, kasut, buku dan beg baharu bukan lagi perkara kecil kerana harga barangan semakin meningkat.

"Bantuan ini juga membolehkan ibu bapa membuat persediaan lebih awal tanpa perlu menunggu gaji atau berhutang semata-mata untuk membeli kelengkapan sekolah.

"Ia nampak kecil, tapi besar ertinya BAP ini bagi kami menanggung pelbagai komitmen bulanan," katanya.

Kelmarin ketika membentangkan Belanjawan 202 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan meneruskan pemberian BAP melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM800 juta.

Dalam pada itu,  di Kuala Terengganu, seorang ibu, Siti Jamilah Hanim Jamil, 42, berkata, inisiatif kerajaan meneruskan BAP itu sememangnya melegakan dia dan suami.

"Saya mempunyai empat anak yang bersekolah iaitu darjah satu hingga tingkatan empat pada tahun hadapan.

"BAP keseluruhan RM600 itu amat membantu kami membeli kelengkapan sekolah anak-anak. Saya tidak keberatan untuk hadir ke sekolah anak-anak untuk menerimanya seperti disyaratkan," katanya.

Di Georgetown, Pulau Pinang, seorang ibu tunggal, Farizah Adani Ismail, 35, berkata, bantuan tersebut seumpama talian hayat kedua buat dirinya dalam memenuhi keperluan persekolahan empat anaknya.

"Saya ada lima anak, empat masih bersekolah, seorang di prasekolah, tiga di sekolah rendah, manakala seorang di sekolah menengah.

"Dengan bantuan ini saya boleh membeli barang sekolah termasuk kasut dan baju sekolah serta peralatan sekolah mereka yang lain, memang rasa lega," katanya.

Di Kota Bahru, Kelantan, seorang penjawat awam, Ismal Ya, 55, berkata, BAP tersebut sememangnya ditunggu-tunggu oleh golongan ibu bapa terutamanya yang mempunyai ramai anak bersekolah.

"Saya lega apabila kerajaan meneruskan BAP pada tahun depan. Bantuan ini banyak membantu saya untuk membeli peralatan sekolah anak-anak sejak beberapa tahun lalu.

Bagi Siti Hajar Mohamad, 35, ibu kepada empat orang anak yang masih bersekolah, bantuan itu membantu meringankan persediaan awal tahun persekolahan.

"RM150 untuk setiap anak memang membantu. Kalau anak ramai macam saya, jumlahnya boleh cecah RM600, cukup untuk beli kasut, beg dan alat tulis. Harapan bayaran dapat dibuat lebih awal tahun depan," katatanya.

No comments:

Post a Comment