SETIU – Seorang tukang masak maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 di Kilo meter 61, Jalan Kuala Terengganu Kota Bharu berhampiran Kampung Rahmat di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.37 pagi itu, mangsa, Loh Eng Keat, 61, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Eng Keat yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dikata kan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari arah Kota Bharu, Kelantan.
“Kenderaan SUV jenis Proton X70 pula dinaiki empat sekeluarga dan dikatakan dalam perjalanan ke Kota Bharu dari rumah mereka di Durian Burong, Kuala Terengganu.
“Sewaktu tiba di lokasi ke jadian, kedua-dua kenderaan yang datang dari arah berlawanan telah bertembung sehingga menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah,” katanya semalam.
Mohd. Zain berkata, pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Katanya, mayat tukang masak restoran itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.
“Empat sekeluarga berusia antara tujuh tahun hingga 68 tahun yang menaiki Proton X70 tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:
Post a Comment