Translate

Sunday, November 30, 2025

Sehidup semati sampai akhir hayat


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hidup bersama dan mati pun bersama.

Itu takdir dilalui pasangan suami isteri yang lemas apabila bot fiber dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar di perairan Kuala Merchang, Marag dekat sini kelmarin.

Tragedi menyayat hati yang meragut nyawa Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan isterinya, Norhasria Che Osman, 46, itu menyebabkan enam anak yang ditinggalkan masing-masing berusia antara 16 hingga 26 tahun kini menjadi yatim piatu sekelip mata.

Sewaktu kejadian pada pukul 3.30 petang itu, Abdul Rahim dan Norhasriah sedang memancing ikan di perairan berkenaan.

Anak keempat mereka, Muhammad Haziq Adha, 19, berkata, ibunya yang merupakan suri rumah mengikut bapanya turun ke laut untuk menangkap ikan sambil menguji bot fiber baharu sempena cuti Hari Kebangsaan.

"Ayah (Abdul Rahim) bekerja kampung termasuk menjadi nelayan pantai sejak bersara dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada kira-kira enam tahun lalu.

"Memang ibu (Norhasriah) kerap mengikut untuk menemani ayah. Mereka turun ke laut pada pukul 7.45 pagi selepas memaklumkannya kepada adik kelima saya (Nur Najihah, 16)," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Menurut Muhamamd Haziq Adha yang merupakan pembantu kedai runcit, dia berasa tidak sedap hati apabila ibubapanya masih tidak pulang dari laut pada pukul 3 petang.

Malah, dia terkejut apabila dihubungi salah seorang rakan bapanya yang juga nelayan dan memaklumkan telah menjumpai sebuah bot terbalik disyaki milik keluarganya di tengah laut.


"Saya terus meluru keluar ke jeti yang biasa ayah gunakan untuk letak bot fiber, Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan mayat ibu telah ditemui sebelum ayah pula kira-kira 15 minit kemudian," katanya.

Mengimbas kembali sebelum kejadian itu, Muhammad Haziq Adha berkata, dia perasan kucing betina peliharaan keluarganya yang bernama Puing kelihatan resah dan hanya mahu berdamping dengan ibu bapanaya sejak seminggu lalu.

"Dalam seminggu ini, Puing tidak mahu bermain dengan saya dan adik-beradik lain tetapi asyik berkepit dengan ibu dan ayah. Tidak sangka kami semua hilang orang tua secara serentak semalam (kelmarin)," katanya.

Dalam pada itu, jenazah suami isteri tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating di sini kira-kira pukul 2.40 petang semalam.

Upacara pengebumian tersebut disaksikan hampir 200 orang terdiri ahli keluarga, sanak saudara dan penduduk kampung dalam keadaan hujan renyai.

Anak kedua Abdul Rahman dan Norhasriahm, Muhammad Aniq Arsyadm 24, yang merupakan pelatih TLDM berkata, dia bergegas pulang dari Pengkalan TLDM Lumut, Perak sebaik mendapat berita buruk tersebut.

"Kali terakhir ketika pulang ke kampung iaitu kira-kira tiga minggu lalu, arwah ayah sempat berpesan agar saya menjaga adik-adik yang lain sekiranya sesuatu terjadi kepadanya.

"Sebagai anak lelaki paling tua dalam keluarga, saya akan berusaha memegang amanah tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, bot dinaiki Abdul Rahim dan Norhasriah dipercayai terbalik akibat dilambung ombak besar dan angin kencang sewaktu menangkap ikan di perairan Kuala Merchang.

Beliau berkata, mayat suami isteri itu ditemui antara pukul 4.30 petang dan 4.45 petang pada kedudukan tiga dan empat kilometer dari perairan Kuala Merchang.

Katanya, mayat mereka telah dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating, Marang.

"Saya menasihatkan orang ramai terutama komuniti nelayan agar mengambil kira ramalan cuaca sebelum turun ke laut.

"Perairan Kuala Merchang memang dilaporkan bergelora beserta angin kencang sejak Khamis lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment