Oleh MOHD AZLI ADLAN
PEMERKASAAN teknologi hijau kini menjadi agenda global demi kelestarian alam dan ia telah diperteguhkan menerusi resolusi Pelan Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai 2017.
Antara agenda yang diberi penekanan dalam SDG ialah merangsang penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam kehidupan seharian.
Tenaga boleh diperbaharui dihasilkan daripada sumber semula jadi seperti matahari, angin dan ombak yang boleh diisi semula pada kadar lebih cepat daripada penggunaannya.
Penduduk dunia termasuk Malaysia disasar beralih sekurang-kurangnya 70 peratus kepada tenaga diperbaharui menjelang tahun 2050.
Walaupun negara kita merupakan salah sebuah pengeluar produk petroleum, tidak boleh dinafikan bahan api itu antara penyumbang signifikan terhadap pemanasan global selain arang batu.
Pemanasan global dirangsang oleh pelepasan karbon dioksida yang dilaporkan mencecah 36.3 bilion tan metrik pada 2021.
Berdasarkan laporan terkini Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), fenomena tersebut telah menyumbang kepada perubahan iklim yang cepat sehingga boleh mengancam ekosistem dunia dan kesejahteraan sejagat.
Antara impak yang semakin dirasai kini ialah kekerapan bencana alam seperti ribut taufan dan banjir luar jangka yang turut menjejaskan negara tanpa terkecuali.
Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, rakyat negara ini harus bersedia beralih kepada penggunaan tenaga diperbaharui apabila masanya tiba kelak.
Beliau berkata, UMT turut mengorak langkah mengambil bahagian dalam komitmen kerajaan terhadap SDG dengan menubuhkan Projek Pusat Tenaga Boleh Baharu Luar Pesisir (Cefore).
“Cefore bukan sekadar pusat penyelidikan, malah simbol kepada harapan masa depan yang lebih hijau dan lestari,” katanya.
Mohd. Zamri berkata, Cefore mencadangkan agar sumber angin, solar dan ombak yang lebih mesra alam diintegrasikan bagi mengurangkan impak perubahan iklim global.
Beliau yang juga Ketua Projek Cefore berkata, penggunaan ketiga-tiga sumber itu berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
“Ia juga mampu menjadi pemangkin untuk membiasakan rakyat menggunakan tenaga boleh diperbaharui dalam kehidupan seharian mereka.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri tidak mahu terlepas dalam penerokaan inisiatif tenaga boleh diperbaharui terbabit.
Beliau menjelaskan segmen tenaga boleh diperbaharui merupakan antara industri baharu yang mahu diterokai sebagai peluang pendapatan baharu Terengganu.
“Buat masa ini, Terengganu menjana 1,012 Megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui meliputi solar, hidro, mini hidro dan biogas.
“Terengganu menyasar untuk menghasilkan satu gigawatt (GW) tenaga boleh diperbaharui daripada sumber solar sahaja dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

No comments:
Post a Comment