Translate

Friday, October 4, 2024

Sawan bukan halangan cari rezeki

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Biarpun kerap diserang sawan, seorang pemuda tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. 

 Fahmi Farhan Zulkifli, 24, berkata, dia terpaksa berbuat demikian memandangkan ibu dan bapanya menghidap penyakit kronik. 

 Bapanya, Zulkifli Abdullah, 54, mempunyai penyakit jantung lemah, manakala ibunya, Zaimuni Omar, 55, pula kudung kedua-dua belah kaki akibat diabetes kronik. 

 “Sebagai anak sulung, saya ambil alih tanggungjawab mencari rezeki biarpun kerap diserang sawan,” katanya ketika ditemui drumahnya di Kampung Bujuk di sini baru-baru ini. 

 Muhammad Fahmi bekerja sebagai pembantu di stor penyimpanan tong gas memasak berdekatan rumahnya dengan gaji RM40 sehari. 

 Jelasnya, setiap kali diserang sawan, tubuhnya menjadi lemah sehingga tidak mampu bekerja hampir dua bulan. 

“Saya perlu kuatkan diri untuk menampung perubatan ibu bapa dan wang sekolah dua adik berusia 11 dan 14 tahun. Dua lagi adik turut membantu, tetapi gaji mereka tidak seberapa,” katanya. 

Kos perubatan ibu bapanya digunakan untuk membeli lampin pakai buang, ubat-ubatan dan perbelanjaan ulang-alik ke hospital mencecah RM1,500 sebulan. 

Pasangan warga emas itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan. 

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank Simpanan Nasional atas nama Zulkifli bernombor 11115-41-00011876-7 atau menghubungi Muhammad Fahmi di talian 01139105996.

No comments:

Post a Comment