Translate

Saturday, October 5, 2024

22 lokasi riadah air berisiko berlaku kepala air di Terengganu

 KUALA TERENGGANU – Orang ramai yang mahu melakukan aktiviti air terutama di 22 lokasi lata, air terjun dan sungai di negeri ini diminta berwaspada dengan kemungkinan fenomena kepala air sepanjang tempoh fasa peralihan monsun sehingga akhir November depan. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, enam lokasi itu di Dungun, Hulu Terengganu (lima) dan masing-masing empat di Besut, Setiu dan Kemaman.

 Justeru katanya, pengunjung perlu peka dengan empat petanda awal fenomena kepala air. 

Ujarnya, bunyi deruan kuat air, perubahan air menjadi keruh dan berbuih, lambakan sampah dan sisa pokok hanyut serta peningkatan mendadak paras air sungai adalah petanda fenomena kepala air,” katanya. 

Hassan ‘As’ari Omar berkata, kawasan riadah air yang berisiko di Dungun ialah Air Terjun Lubuk Kain, Langsir, Chemerong, Sungai Loh dan Sungai Kelemin. 

Tambahnya, Air Terjun Sekayu, Belukar Bukit, Lasir, Saok dan Juwita di Hulu Terengganu juga berisiko berlaku kepala air. 

“Besut pula membabitkan Lata Tembakah, Lata Belantan, Taman Eko Lata Kolam Air Deru dan Kolam Air Panas La.

 “Lata Ulu Kasar, Ulu Kekabu, Chakah dan Payung di Setiu serta Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Putih dan Sungai Cherul di Kamaman juga berisiko,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Hassan ‘As’ari berkata, kejadian pokok tumbang akibat dipukul angin kencang serta banjir kilat juga dijangka meningkat pada tempoh peralihan monsun ini.

No comments:

Post a Comment