Translate

Thursday, October 24, 2024

Gaji minimum RM1,700 dipersetujui majikan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Kerajaan yakin penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan berkuatkuasa seawal bulan Februari tahun depan tidak akan menjejaskan kebanyakan majikan termasuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kenaikan gaji minimum sebanyak RM200 berbanding RM1,500 sebelum ini telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk kesediaan kewangan majikan.

“Kadar gaji minimum baharu ini diumumkan selepas kajian teknikal dilakukan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan.

“Saya dimaklumkan gaji minimum RM1,700 (sebulan) ini dipersetujui sebulat suara oleh semua wakil pekerja, majikan dan kerajaan yang menganggotai Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan tersebut,” katanya di Lembah Bidong di sini hari ini.

Steve Sim berkata, kenaikan gaji minimum tersebut dirasakan bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa dan dilaksanakan selepas tiga tahun kadar lama iaitu RM1,700 dilaksanakan.

Tambah beliau, majikan tempatan juga akan diberi masa mencukupi sehingga bulan Februari depan untuk melakukan persediaan bagi kenaikan kadar gaji minimum tersebut.

“Bagi PKS yang mempunyai pekerja kurang lima orang pula, kita beri masa lebih lama sehingga bulan Ogos tahun depan untuk membuat penyelarasan.

“Kita faham sebahagian PKS mempunyai kekangan tetapi kerajaan akan membantu menerusi pengumuman pelbagai insentif berjumlah keseluruhan RM40 bilion pada Belanjawan 2025, Jumaat lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment