Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Elemen jenayah yang ditemui dalam siasatan awal kes kemalangan empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun minggu lalu membawa kepada pertuduhan membunuh ke atas pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, Jabatan Peguam Negara memutuskan demikian selepas mengambil kira situasi berlaku di lokasi kejadian termasuk perbuatan mengheret kesemua mangsa sejauh kira-kira 150 meter.
Beliau berkata, perbuatan itu mempunyai unsur bunuh dan kemungkinan suspek melakukannya secara sedar.
“Kebiasaannya kita akan menuduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tetapi dalam kes ini tidak begitu atas arahan Pejabat Peguam Negara.
“Sehubungan itu, saya berharap orang ramai tidak mengeluarkan komen-komen negatif terhadap pertuduhan (ke atas tertuduh),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu, tertuduh, Norizan Ahmad, 49, dihadapkan atas tiga pertuduhan membunuh Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, di Mahkamah Majistret Dungun hari ini.
Ibu tiga anak itu menghadapi tuduhan cuba membunuh seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridzuan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Khairi berkata, siasatan awal mendapati Norizan tidak memiliki lesen memandu.
Tambah beliau, wanita itu juga tidak pernah disahkan mengalami masalah mental seperti yang didakwa sebelum ini.
“Semua dakwaan sebelum ini hanya kata-kata orang yang tidak dapat dibuktikan lagi. Sebab itu, setakat ini dia (Norizan) dilayan seperti suspek biasa.
“Apapun mahkamah hari ini (semalam) memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru,” katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, setakat ini seramai 11 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut dan siasatan mengenainya masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment