Translate

Tuesday, October 22, 2024

Nahas UiTM Dungun: ‘Saya kini tiada lagi anak lelaki’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Duka lama seorang pegawai bank kehilangan anak sulung pada tujuh tahun lalu kembali berdarah apabila anak bongsunya juga maut akibat kemalangan jalan raya di hadapan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini malam tadi.

Tambah memilukan Jamaludin Husin, 53, dia kini kehilangan kedua-dua anak lelakinya termasuk Khairil Anwar Jamaludin, 20, yang merupakan salah seorang mangsa rempuhan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV pada pukul 7.20 malam.

Dia yang menetap di Kampung Pandan, Kuala Lumpur berkata, tujuh tahun lalu, anak lelaki sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada usia 22 tahun.

“Sewaktu saya menerima panggilan berhubung kemalangan menimpa Khai (Khairil Anwar) pada kira-kira pukul 9 malam tadi (kelmarin) , darah saya berderau. Dua-dua anak lelaki saya ‘pergi’ akibat nahas jalan raya.

“Kebetulan kedua-dua berita kemalangan saya terima pada waktu dan bulan hampir sama. Abang (Muhammad Khairul Izzudin) pada 3 Oktober, adik (Khairul Anuar) pula 9 Oktober,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.

Cerita Jamaluddin, sewaktu terlibat dalam kemalangan, anak sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin sepatutnya dijadualkan melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di sebuah institusi pengajian tiggi (IPT) di Lembah Klang.

Tambahnya, Khairul Anwar seakan-akan mahu memenuhi hasrat arwah abangnya yang tidak kesampaian apabila turut melanjutkan pelajaran dalam jurusan sama.

“Malangnya dia yang kini dalam semester tiga pengajian turut meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Kosmo! Online semalam melaporkan Khairul Anwar bersama dua lagi rakan sekampusnya, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, Muhammad. Akmal  Md. Tukirin, 25, maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun.

Seorang lagi rakan mangsa, Muhammad Ammar Danish Muhammad. Ridzuan, 20, pula cedera parah pada bahagian pinggang dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment