Oleh MOHD AZLI ADLAN
DUNGUN – Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, yang merupakan satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu lalu, dibenarkan keluar hospital, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, penghantaran pulang pelajar tahun dua Sarjana Muda Perakaunan tersebut akan diuruskan pengurusan UiTM.
“Muhammad Ammar Danish dibenarkan pulang (dari wad Hospital Dungun) hari ini. Saya difahamkan pengurusan UiTM akan membantu dia pulang ke rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur menaiki ambulans,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi Muhammad Ammar Danish di Hospital Dungun, di sini semalam.
Maliaman berkata, keadaan emosi Muhammad Ammar Danish yang cedera pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan juga semakin stabil.
Tambah beliau, proses pemulihan pemuda itu akan terus dipantau termasuk penyediaan perkhidmatan kaunseling oleh UiTM dan Kementerian Kesihatan.
“Saya lihat trauma dialami (Muhammad Ammar Danish) sudah beransur pulih, namun keadaan emosinya akan terus dipantau,” katanya.
Kosmo! Jumaat lalu melaporkan Muhammad Ammar Danish terselamat setelah dua motosikal dinaikinya dan tiga rakan sekuliah lain dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V yang dipandu wanita disyaki mengalami kecelaruan mental berhampiran UiTM Dungun, Rabu lalu.
Kemalangan pada pukul 7.20 malam itu mengorbankan Khairil Anwar Jamaludin, 20; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment