DUNGUN – Lebih 1,000 orang menunaikan solat jenazah tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV malam tadi.
Solat jenazah yang selesai sepenuhnya pada pukul 10.34 pagi itu dipimpin Imam Pusat Hidayah UiTM Dungun, Muhammad Adam Ali.
Terdahulu jenazah Khairil Anwar Jamaludin, 20; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, dibawa dari Unit Forensik Hospital Dungun di sini sejurus bedah siasatan selesai.
Usai itu, jenazah ketiga-tiga pelajar UiTM itu kemudiannya dibawa pulang ke tempat asal masing-masing di Ampang dan Saujana Utama, Selangor serta Muar, Johor.
Kosmo! semalam melaporkan mereka maut apabila dua motosikal dinaiki tiba-tiba dirempuh kenderaan Honda CRV dari arah belakang di hadapan kampus UiTM Dungun.
Sewaktu kejadian, Khairil Anwar, Ku Adib Aizad dan Muhammad Akmal bersama seorang lagi rakan mereka yang cedera, Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridzuan, 20, dalam perjalanan pulang ke kampus setelah makan malam. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment