Oleh MOHD AZLI ADLAN
DUNGUN – Program formasi manusia memegang Jalur Gemilang sejauh 2,222 meter sehingga puncak Bukit Bauk di sini anjuran Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) sempena Hari Sukan Negara (HSN) hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Formasi melibatkan penyertaan lebih 2,000 peserta tersebut diiktiraf pembarisan manusia memegang bendera terpanjang di negara ini.
Pengarah PSMZA, Zamra Derahman berkata, program tersebut dijayakan pelajar dan kakitangan politeknik itu, kolej komuniti, penjawat awam dan swasta serta orang awam sekitar daerah ini.
“Kesemua lebih 2,000 peserta melakukan formasi berbaris sepanjang kiri dan kanan sambil memegang Jalur Gemilang dari kaki bukit sehingga puncak Bukit Bauk sejauh 2,222 meter.
“Program yang mendapat kerjasama Petronas Wilayah Timur ini adalah inisiatif PSMZA untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya di Bukit Bauk di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas menerima sijil pengiktirafan rekod tersebut daripada wakil MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin.
Zamra berkata, program tersebut juga mendekatkan lagi warga PSMZA bersama komuniti setempat.
Jelas beliau, ia selaras saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang tidak mahu institusi pengajian tinggi terasing dengan masyarakat setempat. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment