KUALA NERUS – Penderitaan seorang ibu tunggal menghidap kanser payudara tahap empat mendapat simpati wakil rakyat yang mahu membantu wanita itu mendapatkan bantuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, Rohani Jusoh, 48, baru menjalani pembedahan membuang payudara kiri pada akhir November lalu dan kini hilang sumber pendapatan ekoran terpaksa berhenti kerja disebabkan masalah kesihatan.
“Setakat ini, Tabung Darul Iman baru meluluskan permohonan segera bantuan sekali bayar bagi meringankan beban ibu tunggal ini,” katanya ketika menyantuni Rohani di rumah wanita itu di Kampung Tok Jembal di sini kelmarin.
Beliau turut menghulurkan bantuan peribadi dan bakul makanan kepada Rohani.
Ahmad Razif berkata, beliau akan membantu Rohani mengemukakan permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Beliau berharap kedua-dua permohonan itu dapat diluluskan segera.
Rabu lalu, Kosmo! melaporkan ketabahan Rohani yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak teruji apabila disahkan menghidap kanser payudara.
Dia yang terlantar sakit kini dijaga ibunya, Zaiton Sulung, 76, yang uzur dan menghidap tekanan darah tinggi.
Selain itu, kos kehidupan termasuk perubatan Rohani yang dianggarkan berjumlah RM1,500 sebulan ini ditanggung dua anaknya berusia 20 dan 29 tahun.
No comments:
Post a Comment