Mesyuarat dan simulasi diadakan berbulan-bulan sehingga munculnya gelombang pertama Monsun Timur Laut pada 9 Disember lalu. Pada awalnya seperti mengikut perancangan, namun takdir Allah mengatasi segalanya. Hujan lebat tanpa henti selama empat hari menenggelamkan semua lapan daerah di Terengganu.
Lebih 41,000 penduduk terjejas dengan setakat semalam, 53 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Besut. Kemusnahan harta dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.
Koordinasi operasi Sekretariat Pengurusan Bencana negeri menjadi semakin mencabar apabila banyak lokasi selamat sebelum ini turut ditenggelami air.
Oleh itu, jumlah mangsa yang berpindah ke PPS meningkat sekali gus menyebabkan simpanan makanan dan barang keperluan tidak mencukupi.
Penghantaran tambahan bekalan pula terganggu kerana kekurangan pengangkutan kerana jalan ditenggelami air. Bertambah kalut, sekurang-kurangnya 15 PPS yang diwartakan terpaksa ditutup dan dipindahkan ke premis lain ekoran dilanda bah.
Senario bencana buruk tidak diduga sehingga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri tersalah kiraan bercuti ke luar negara sewaktu tempoh kritikal itu.
Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, impak gelombang pertama banjir kali ini agak luar biasa melibatkan kesemua daerah di Terengganu.
“Banyak tempat yang sudah lama tidak dilanda bah turut terjejas. Misalnya kampus UMT kembali ditenggelami bah setelah kali terakhir pada enam tahun lalu.
“Sememangnya dalam tempoh itu berlaku luruhan sejuk yang lebih kuat membawa lebih banyak kelembapan menyebabkan hujan lebat berpanjangan di Pantai Timur,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Begitupun, Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Hafizan Juahir pula menjelaskan, taburan hujan di seluruh negeri Terengganu sepanjang bulan lalu bukanlah yang tertinggi dalam sejarah.
Sebaliknya, taburan hujan dalam tempoh tersebut merupakan kedua rendah dalam tempoh 12 tahun.
“Berdasarkan analisis laman web World Weather Online, stesen cerapan Kuala Besut cuma menerima taburan hujan sebanyak 334 milimeter (mm), Kemaman (206 mm), Kuala Terengganu 380 mm dan Kuala Berang (359 mm).
“Cerapan yang dicatat di keempat-empat stesen tersebut merupakan kedua terendah sejak tahun 2000,” katanya.
Hafizan memberitahu, sebenarnya trend taburan hujan di Terengganu dilihat telah menurun secara signifikan dalam tempoh dua dekad.
Tambah beliau, walaupun cerapan taburan hujan pada 11 tahun sebelumnya jauh lebih tinggi, tetapi tidak pula berlaku banjir yang teruk kecuali pada tahun 2014.
“Sehubungan itu, bukan hujan lebat tidak dijangka menjadi faktor utama berlakunya banjir besar yang melanda Terengganu pada waktu ini. Sistem perparitan dan pembangunan tidak terancang turut menjadi faktor penyumbang,” kata beliau. -KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment