KUALA TERENGGANU – Cubaan sebuah bot nelayan Vietnam melarikan diri daripada pasukan Maritim Malaysia (APMM) selepas menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut gagal apabila bot itu berjaya ditahan baru-baru ini.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi, Sabtu lalu, seramai tujuh nelayan asing yang menaiki bot terbabit ditangkap di kedudukan 135 batu nautika dari timur laut perairan Kuala Terengganu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, sebelum tangkapan, kesemua nelayan terbabit sedang leka menangkap ikan pada musim tengkujuh di perairan Kuala Terengganu.
Menurutnya, bot nelayan Viet nam itu kemudian memecut laju untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot APMM.
“Bot itu akhirnya berjaya dipintas tidak lama kemudian. Pemeriksaan mendapati ia tidak memiliki permit Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di negara ini,” katanya semalam.
Kata beliau, kesemua nelayan berusia 21 hingga 54 tahun juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
Ujarnya, APMM telah merampas 150 kilogram ikan pelbagai jenis, peralatan menangkap ikan, 100 liter diesel dan bot yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1 juta.
“Kesemua barang rampasan bersama tujuh suspek dibawa ke Jeti Maritim Kuala Terengganu. Ia adalah tangkapan pertama bot nelayan Vietnam mencerobohi perairan negeri ini tahun ini.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” katanya.
No comments:
Post a Comment