Translate

Thursday, January 19, 2023

Tauke keropok mengaku sabung ayam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Gara-gara menyabung ayam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, seorang pengusaha keropok lekor terkenal dan rakannya didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam. 

Hakim Nazliza Mohd. Nazri memerintahkan demikian selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Nazir Mohd. Dagang, 47, dan Mohd. Raimi Manaf, 33, yang merupakan seorang juruteknik membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan. 

Beliau memerintahkan Mohd. Nazir dan Mohd. Raimi dijatuhi hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. 

Tertuduh pertama yang diwakili peguam, Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad dan tertuduh kedua pula yang diwakili peguam, Najmi Adila Mohd. Nasir membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menyabung ayam di dalam sebuah bangsal terletak di belakang sebuah rumah di Kampung Tok Beng, Kuala Nerus pada pukul 4.15 pagi, 3 September 2020.

 Mengikut fakta kes, lokasi Mohd. Nazir dan Mohd. Raimi yang sedang melaga ayam telah diserbu anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Daerah Kuala Terengganu. 

Hasil pemantauan selama 10 minit sebelum itu mendapati, mereka menyabung dua ekor ekor ayam laga di gelanggang berkenaan. 

Serbuan itu telah menahan kedua-dua tertuduh selain menyita dua ayam laga berkenaan. 

 Mereka didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukan hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment