KUALA TERENGGANU – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), penyedia perkhidmatan sokongan kepada industri minyak, gas dan pelaburan, menyasarkan perolehan pada tahun ini bertambah kepada RM379.1 juta dengan pertumbuhan melonjak sebanyak 12 peratus.
Tahun lalu, perolehan yang dicatat oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu itu adalah sebanyak RM339.6 juta yang mana 70 peratus daripadanya disumbangkan oleh segmen pelabuhan, 27 peratus daripada perkhidmatan kejuruteraan dan baki tiga peratus daripada tenaga boleh diperbaharui.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ridzuan Ali berkata, peningkatan pada tahun ini bakal disumbangkan oleh anak syarikat Kumpulan iaitu Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn. Bhd. (PBK) yang merupakan segmen perniagaan paling berdaya saing.
PBK terdiri daripada tiga dermaga Pelabuhan Terengganu dan ia adalah pelabuhan paling dalam di negara ini selepas Pelabuhan Labuan yang berkemampuan menerima kapal 150,000 tan berat muatan.
“Kerja-kerja penggerudian pelantar minyak di perairan Terengganu dijangka melibatkan purata sehingga lapan kali sebulan sepanjang tahun ini dan peningkatan kadar sewaan fasiliti hartanah pada tahun ini akan menjadi antara faktor penyumbang kepada pertumbuhan perolehan tersebut,” katanya semasa berucap pada majlis Mesra bersama Media di sini semalam.
Ridzuan berkata, penambahan aktiviti penggerudian tersebut bakal mendorong lebih banyak kemasukan kapal, sekali gus merancakkan lagi aktiviti pengkalan PBK yang terletak di Kemaman.
“Pengendalian kargo bagi operasi pelabuhan juga diunjur bertumbuh pada kadar 31 peratus berikutan pemasangan dua kren gantri di Dermaga Timur pada penggal kedua tahun ini.
“Sehubungan itu, kami optimis untuk menjana keuntungan bersih selepas cukai pada tahun kewangan 2023 sebanyak RM8.7 juta berbanding RM6.1 juta pada tahun lalu,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE
No comments:
Post a Comment