Translate

Monday, January 9, 2023

25,000 pelajar miskin Terengganu terima bantuan makanan Maidam

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM1 juta untuk program makanan tambahan kepada pelajar sekolah menengah miskin di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, program ‘Dapo Maidam @ School’ itu bakal memberi manfaat kepada 25,000 pelajar sekolah menengah di seluruh Terengganu.

“Berbanding murid sekolah rendah yang menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), ramai pelajar sekolah menengah miskin terpaksa berlapar sewaktu berada di sekolah.

“Mereka tidak bersarapan atau berpeluang menikmati makan tengah hari lantaran kemiskinan keluarga,” katanya selepas menyampaikan replika cek bantuan berkenaan kepada Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Azrin berkata, Maidam mengambil inisiatif membantu pelajar terbabit bagi menerima nutrisi berkhasiat di sekolah.

Beliau berkata, peruntukan RM1 juta daripada sumber am Maidam tersebut merangkumi lapan kali hidangan kepada setiap 25,000 pelajar berkelayakan.

“Setiap hidangan bernilai RM5. Terpulang kepada pengurusan sekolah untuk menentukan kaedah agihan makanan tambahan tersebut sama ada secara harian, mingguan atau bulanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment