Translate

Friday, January 20, 2023

3,000 serbu Pasar Percuma dalam sejam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Program Pasar Percuma Terengganu Kita kali ke-25 mendapat sambutan hangat kira-kira 3,000 pengunjung yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir di sini semalam. 

Pengasasnya, Dr. Muhammad Salehuddin Sulaiman berkata, kebanyakan barangan keperluan dan terpakai disediakan secara percuma bernilai keseluruhan hampir RM25,000 habis diambil pengunjung dalam tempoh kira-kira sejam.

 “Penganjuran Pasar Percuma Terengganu Kita kali ini memberi fokus kepada mangsa banjir terutama dalam kalangan golongan kurang berkemampuan. 

“SK Banggol Peradong dipilih sebagai lokasi penganjuran kali ini kerana ia merupakan antara pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Terengganu sewaktu bencana banjir bulan lalu,” katanya di sini kelmarin. 

Program pasar percuma telah dilaksanakan sejak tahun 2015 itu berkonsepkan menghimpun sumbangan barangan terpakai seperti pakaian, kasut, mainan kanak-kanak, perabot, pinggan mangkuk, alat tulis dan buku. 

Pengunjung dalam kalangan golongan kurang berkemampuan boleh mengambil barangan tersebut secara percuma mengikut keperluan masing-masing. 

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Wan Rosmaliza Wan Mohd. Noor, 46, berkata, penganjuran Pasar Percuma Terengganu Kita memberi banyak manfaat kepada golongan asnaf sepertinya. 

“Saya mempunyai lapan anak dan memang ada kekangan kewangan untuk memenuhi keperluan mereka terutama pakaian seragam sekolah. 

“Selain pakaian untuk anak-anak, saya perlu selimut, mainan dan buku terpakai,” katanya. 

Nur Aishah Zakaria, 24, yang merupakan pelajar universiti pula turut mengambil pakaian untuk keperluan adik-beradik dan saudara-mara yang terjejas. 

“Pakaian di sini masih elok dan cantik-cantik, kebetulan saya akan praktikal perlu banyak pakaian untuk bekerja nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment