Oleh MOHD AZLI ADLAN
MARANG – Peruntukan undang-undang yang lebih tegas perlu digubal bagi menangani isu penghinaan terhadap agama Islam yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, undang-undang sedia ada masih belum cukup tegas bagi membendung kes berkaitan celaan terhadap agama berkenaan.
“Islam perlu diperkasa dan isu melibatkan penghinaan terhadap agama dan Rasul (Nabi Muhammad) harus dipantau.
“Kita akan ambil tanggungjawab dan pantau (isu hina agama) dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di sini hari ini
Abdul Hadi berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang melakukan penghinaan terhadap agama Islam terbabit.
Jelas Ahli Parlimen Marang itu, ia sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang penghantar makanan dari Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Sepang kerana menghina agama Islam.
Selain itu, dua lelaki yang turut disyaki menghina agama turut ditahan polis masing-masing di Kuala Krai, Kelantan dan Kuala Terengganu pada Selasa dan kelmarin. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment