Translate

Monday, July 25, 2022

Ketengah mahu tubuh anak syarikat perlombongan bijih besi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berhasrat untuk kembali bergiat aktif dalam perlombongan bijih besi di kawasan wilayahnya terutama Bukit Besi di sini.

Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebuah anak syarikat berhubung perlombongan bijih besi bakal ditubuhkan agensi itu dalam masa terdekat.

“Saya telah mengarahkan Ketengah Holding mengemukakan kertas kerja berhubung penubuhan anak syarikat baharu terbabit dalam mesyuarat lembaga pengarah pada bulan depan.

“Sebelum ini, perlombongan bijih besi di wilayah Ketengah diserahkan kepada syarikat konsesi dengan pulangan diterima Ketengah hanya kira-kira RM27 juta setahun,” katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketengah di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Ahmad berkata, berdasarkan laporan diberi syarikat konsesi, dianggarkan 400 metrik tan bijih besi telah dikeluarkan dari wilayah Ketengah setiap tahun dengan janaan perolehan mencecah kira-kira RM300 juta.

Sehubungan itu, beliau berhasrat agar Ketengah selepas ini terlibat secara langsung dalam aktiviti perlombongan bijih besi di wilayah kendaliannya.

Bukit Besi yang terletak di wilayah Ketengah merupakan kawasan perlombongan bijih besi antara terbesar di Asia Terenggara sebelum mengalami zaman malap pada tahun 1970-an. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment