Translate

Saturday, July 9, 2022

22,156 lelaki mohon khidmat kaunseling

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Semakin ramai lelaki yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, berdasarkan statistik, seramai 22,156 klien lelaki telah menghadiri sesi kaunseling secara individu dan kelompok dengan LPPKN sejak tahun 2019.

 “Kebanyakan masalah diadukan ialah melibatkan masalah atau tidak berpuas hati dengan pasangan (isteri) iaitu sebanyak 33 peratus. 

“Ia diikuti masalah kewangan sebanyak 20 peratus dan campur tangan keluarga (mentua dan ipar-duai) sebanyak 17 peratus,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Bapa peringkat kebangsaan di KNS Dungun di sini semalam. 

Sehubungan itu, Rina memberitahu, perkhidmatan Kesejahteraan dan Psikososial khusus untuk golongan lelaki di Klinik Nur Sejahtera (KNS) akan diperluaskan ke seluruh negara. 

Beliau berkata, kementerian melihat perkhidmatan kesejahteraan dan psikososial kaum lelaki tersebut sebagai satu keperluan bagi mengukuhkan lagi nilai kekeluargaan di negara ini. 

“Sebelum ini, fungsi utama KNS dilihat lebih menjurus kepada kesihatan reproduktif wanita sedangkan kebajikan lelaki sebenarnya tidak pernah diabaikan. 

“Buat permulaan, perkhidmatan kesejahteraan dan psikososial kaum lelaki yang sebelum ini hanya ditawarkan di ibu negara akan diperluas di KNS Dungun sebelum ke 47 cawangan di seluruh negara secara berperingkat. 

“Perkhidmatan tersebut bukan sahaja menawarkan sesi kaunseling keluarga, malah pemeriksaan kesihatan berkaitan lelaki seperti kanser prostat,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Rina berkata, LPPKN menawarkan saringan kesihatan percuma kepada 100 lelaki di negeri-negeri lain sempena sambutan Hari Bapa semalam. 

Jelas beliau, saringan kesihatan percuma buat lelaki itu sehingga 25 Jun ini.

No comments:

Post a Comment