Translate

Friday, July 29, 2022

Penggunaan katil hospital Terengganu cecah 90 peratus

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Wad di semua enam hospital awam di Terengganu mengalami kesesakan pada masa ini dengan penggunaan katil sudah mencecah 90 peratus.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kekosongan katil di kesemua hospital tersebut hanya tinggal kira-kira 173 daripada 1,733 buah yang disediakan.

“Begitu pun, hanya lima peratus pesakit yang dimasukkan ke hosital disebabkan penyakit influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

“Kes Covid-19 pula cuma satu peratus, selebihnya bagi rawatan penyakit-penyakit biasa (tidak berjangkit),” katanya selepas merasmikan program Projek Tanaman Bandar di Hospital Setiu di sini hari ini.

Kasemani berkata, biar pun kadar jangkitan ILI dan URTI agak meningkat pada masa ini ekoran perubahan cuaca namun kadar kemasukan kanak-kanak ke hospital di negeri ini tidak menunjukkan peningkatan ketara.

Begitu pun, beliau memberitahu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengambil langkah awal sekiranya kadar kemasukan pesakit ke wad hospital terus meruncing.

“Ia termasuk menyediakan katil tambahan bagi menampung kemungkinan kemasukan lebih ramai pesakit pada masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

No comments:

Post a Comment