MARANG – “Terima kasih kepada pihak yang banyak menolong saya.”
Itu ucapan suri rumah, Suhaini Mohd., 43, selepas hukuman penjara 14 bulan atas kesalahan mencuri dua paket minuman Malt jenama Milo dan dua kes penyalahgunaan dadah ditangguhkan mahkamah hari ini.
Terdahulu, peguam mewakilinya, Datuk Naran Singh berjaya dalam permohonan penanguhan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan hukuman penjara 14 bulan yang disabitkan Mahkamah Majistret Marang pada 5 Julai lalu diketepikan berikutan kecacatan dalam eksibit dikemukakan dalam prosiding.
Beliau kemudiannya memerintahkan Suhaini dituduh semula atas pertuduhan sama di Mahkamah Majistret Marang pada pukul 4 petang tadi.
Sementara itu di Mahkamah Majistret Marang, Suhaini membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Tertuduh didakwa mencuri dua paket minuman malt jenama Milo di sebuah pasar raya di daerah ini pada pukul 11.20 pagi pada 25 Mei lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Majistret Engku Nurul Ain membenarkan Suhaini yang juga ibu kepada empat anak dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 6 September depan.
Kosmo! 6 Julai lalu melaporkan Engku Nurul Ain memerintahkan Suhaini dihukum penjara 14 bulan atas kesalahan mencuri minuman malt jenama Milo di sebuah pasar raya di sini pada 5 Jun lalu.
Sebelum ini suri rumah yang juga penagih dadah memiliki tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya pada tahun 2019 dan 2021.
Kes tersebut kemudiannya mendapat perhatian ramai termasuk usahawan hartanah, Muhammad Azlan Al-Amin yang mengemukakan permohonan rayuan penangguhan rayuan menerusi Naran pada 8 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment