Translate

Wednesday, July 6, 2022

Lelaki murung cuba terjun Jambatan Sultan Mahmud

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengguna jalan raya yang melalui Jambatan Sultan Mahmud di sini semalam gempar dengan tindakan seorang lelaki disyaki kemurungan yang mahu terjun ke dalam Sungai Terengganu.

Dalam kejadian pada pukul 5.48 petang itu, lelaki berusia 29 tahun tersebut dipercayai bertindak demikian kerana menghadapi masalah peribadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, pihak polis telah dimaklumkan oleh beberapa pengguna jalan raya yang terlihat kelibat lelaki berkenaan berdiri dalam keadaan mencurigakan di tepi jambatan tersebut.

“Sebahagian pengguna jalan raya terbabit berjaya memujuk lelaki itu daripada meneruskan niatnya untuk terjun daripada jambatan.

“Mereka kemudiannya menyerahkan lelaki tersebut kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut berada dalam keadaan kemurungan kerana tertekan dengan masalah peribadi. 

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati lelaki berkenaan juga positif dadah jenis methamphetamine.

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment