Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IDEA tidak sampai lima minit membawa tuah kepada tiga pelajar perempuan bertudung labuh dari Sekolah Raja Taayah (Serata), Ipoh, Perak.
Projek Nutty-Notty iaitu set membuka dan menukar tayar kereta mudah alih berjaya memikat hati juri sekali gus dinobatkan juara keseluruhan pertandingan Peperangan Minda sempena Ekspo Saintis Muda Perak baru-baru ini.
Menggelarkan diri sebagai pasukan Al-Farabi tiga pelajar terbabit Nor Ameerah Nawi, Nur Syuhadah Shahirah Junaidi dan Afifah Hussain menewaskan 79 ciptaan lain yang turut dipertandingkan.
Selain juara keseluruhan, Nutty-Notty ciptaan tiga gadis berusia 16 tahun berkenaan turut memenangi kategori Sains dengan mengenepikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera, Manjung dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di tempat kedua dan ketiga.
Kejayaan terbabit membolehkan pelajar tingkatan empat Serata berkenaan menggondol piala Raja Dr. Nazrin Shah, trofi, wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.
Bagi kategori Sains pula, Al-Farabi menerima ganjaran trofi, wang tunai RM400 dan sijil penghargaan. Semua hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zakarshi.
Hanya seminit
Ekspo Saintis Muda Perak anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) berlangsung tiga hari dari 9 hingga 11 September lalu di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya, Ipoh.
Ketua pasukan, Nor Ameerah memberitahu Nutty-Notty berfungsi sebagai jek dan sepana yang mampu memudahkan proses membuka dan menukar sebiji tayar kenderaan bocor sepantas seminit sahaja.
"Beberapa prinsip Sains seperti pascal dan kimpalan diaplikasi dalam penciptaan Nutty-Notty ini.
"Idea mencipta alatan tersebut tercetus daripada kesedaran kesukaran majoriti pemandu wanita melakukan kerja-kerja membuka dan menukar tayar kereta bersendirian," ujar pelajar aliran Sastera itu.
Jelasnya, setelah dibincang secara terperinci dengan Nur Syuhadah Shahirah dan Afifah melalui beberapa sesi lampas otak, idea Nutty-Notty diterjemahkan dengan bantuan dua guru pembimbing, Ahmad Rezaudin Hussein dan Syamsul Faiz Mohd. Yusof.
"Persiapan rapi dibuat dalam tempoh dua bulan termasuk terpaksa menyingkatkan cuti Aidilfitri.
"Oleh itu kami bersyukur dengan kemenangan ini dan rasa pengorbanan kami berbaloi. Jauh di sudut hati kami berharap agar Nutty-Notty dapat dikomersial suatu hari nanti," katanya.
Hujah Nor Ameerah, alatan terbabit bukan sahaja agak ringan dan mudah dibawa malah, berpotensi tinggi dikomersialkan kerana harga jualannya di pasaran dianggarkan kurang RM50.
Pengiktirafan diraih Al-Farabi menerusi ciptaan Nutty-Notty bukan satu-satunya kejayaan yang diraih Serata dalam pertandingan Peperangan Minda terbabit.
Empat pasukan lain yang mewakili sekolah agama ternama Perak itu turut meraih tempat dalam pertandingan terbabit.
Pasukan Ibn Al-Awwam dengan ciptaan Simple Filter muncul naib johan kategori kimia sementara projek Easy Mum dari pasukan Robotik Al-Jazari pula memenangi tempat ketiga kategori Reka cipta dan Teknologi.
Pasukan Ibn Hayyan dan Ibn Baitah menerima hadiah saguhati menerusi ciptaan masing-masing iaitu Smoke Filter dan Farm in a pot.
Dokumentari ala program realiti
Menurut Pengetua Serata, Noor Aini Zainal Abidin, penyertaan lima pasukan sekolahnya itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajarnya dalam bidang sains.
"Kami mahu buktikan pelajar sekolah agama bukan sahaja mampu menguasai bidang keagamaan tetapi juga menjadi saintis," jelasnya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Prof. Madya Dr. Mustaffa Ahmad memberitahu berikutan sambutan memberangsangkan, pihaknya bercadang untuk menjadikan Ekspo Saintis Muda Perak sebagai acara tahunan.
Menurutnya, penganjuran ekspo yang julung kali diadakan itu adalah buah fikiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Semasa melakukan lawatan kerja ke kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu di Tanjung Malim pada awal tahun ini, Zambry secara peribadi telah meminta UPSI membantu kerajaan negeri menarik minat lebih ramai pelajar Perak memilih aliran sains tulen.
Ia bertujuan melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong wawasan kerajaan negeri Perak menjana pertumbuhan negeri tersebut dengan industri berasaskan pengetahuan menjelang 2015 seperti digariskan dalam pelan Perak Aman Jaya.
Justeru itu, Mustaffa menjelaskan, penganjuran Ekspo Saintis Muda Perak yang menonjolkan subjek sains secara interaktif telah dirangka.
"Dengan tema Berseronok Dengan Sains, generasi muda didedahkan dengan teknik mudah dan menyeronokkan mempelajari mata pelajaran sains tulen seperti Kimia, Biologi, Fizik, Matematik dan Matematik Tambahan.
"Kebanyakan projek tersebut menyerlahkan daya kreatif pelajar tanpa mengira dari sekolah bandar dan luar bandar mengaplikasi kefahaman dalam Sains dan Matematik.
"Pertandingan Minda sememangnya daya penarik utama ekspo tersebut.
Malah perjalanan pertandingan tersebut juga bakal menjadi sebuah dokumentari berkonsep program realiti yang diarahkan penerbit dokumentari, Jak Othman," ujarnya.
No comments:
Post a Comment