IPOH - Gara-gara kemiskinan, M. Amanah, 73, dan 14 ahli keluarga lain terpaksa hidup berhimpit dalam sebuah rumah usang yang terletak di dalam Gunung Lang di sini sejak lebih 40 tahun lalu.
Kehidupan mereka bertambah sukar apabila suami Amanah yang berkhidmat sebagai anggota tentera meninggal dunia 26 tahun lalu.
Dengan wang pencen suami RM300 sebulan, wanita warga emas itu menyara dua anak perempuan yang juga telah kematian suami dan 12 cucu dalam keadaan serba kekurangan.
Namun keadaan berubah pada tahun ini apabila keluarga tersebut dikunjungi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli sempena Deepavali baru-baru ini.
Walaupun sekadar menghidangkan segelas air dan muruku kepada Zambry dan isteri, kegembiraan jelas terpancar pada wajah Amanah ketika menyambut kehadiran mereka.
“Saya berterima kasih kerana Menteri Besar (Zambry) turut memberi duit raya kepada semua anak dan cucu-cucu saya serta menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan kepada kami.
“Beliau juga berjanji untuk membantu keluarga kami mendapat kehidupan baru,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Gunung Lang, Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.
Sementara itu Zambry berkata, beliau menyedari kedaifan keluarga Amanah setelah melihat profail salah seorang cucu warga emas itu.
“Kebetulan cucunya, M. Sarathkumar,12, merupakan salah seorang anak angkat saya di bawah program Yayasan Bina Upaya (YBU). Justeru, saya dan isteri membuat keputusan untuk melihat sendiri keadaan keluarganya sempena Deepavali ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment