Translate

Wednesday, January 27, 2010

Tarikh sebat Kartika diketahui bulan depan

KUANTAN - Tarikh pelaksanaan hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, yang menjadi persoalan ramai selama ini akan diketahui bulan depan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, ada kewajaran tarikh hukuman itu disegerakan kerana ia sudah menjadi isu sensitif yang mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.

"Saya akui isu ini begitu sensitif, jadi kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya ia tidak lagi berpanjangan.

"Saya beri tempoh sebulan lagi untuk selesaikan segala masalah dan mencari punca-punca yang menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan segera,''' titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Insentif Sukan Sea Laos 2009 di Hotel MS Garden di sini.

Baginda mengulas hukuman ke atas Kartika, 32, yang belum dilaksanakan selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai tahun lepas setelah mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Ketika ditanya mengenai permintaan Kartika untuk menemui Tengku Abdullah dan ayahanda baginda iaitu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bagi menyelesaikan masalah itu, baginda menjelaskan pihaknya tiada ada masalah menemui wanita itu.

"Bagaimanapun, sehingga kini pihak saya tidak menerima sebarang permintaan daripada Kartika untuk berjumpa," jelas baginda.

Dalam reaksi segeranya, Kartika ketika dihubungi di Singapura semalam terharu dengan kesudian Tengku Mahkota Pahang itu untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Kartika ingin menggunakan peluang tersebut untuk meluahkan tekanan perasaan yang dilalui selain mengetahui sebab kelewatan pelaksanaan hukuman itu.

"Saya akan bincang dengan peguam berhubung permohonan berkenaan selepas pulang dari Singapura hujung minggu ini," katanya.

Kartika yang bercerai dengan suaminya pada 20 Januari lalu kini berada di Singapura atas urusan peribadi.

No comments:

Post a Comment