Translate

Monday, January 25, 2010

Suami mahu rujuk, Kartika belum terima

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Biar pun secara rasmi bercerai dengan Kartika Sari Dewi Shukarnor semalam, Mohamed Afandi Amir rupa-rupanya masih menaruh harapan untuk kembali kembali bersama bekas isterinya itu.

Walaupun akur jodohnya dengan Kartika, 32, tidak panjang seperti diputuskan Mahkamah Rendah Syariah di sini, namun jauh di sudut hatinya, dia tidak rela kehilangan Kartika yang berkongsi dua anak bersamanya.

“Sebaik tuan hakim syarie mengesahkan lafaz cerai tersebut baru saya terfikir sama ada saya telah menjadi suami dan bapa yang baik kepada Kartika dan anak-anak selama ini?

“Saya akui sudah tersilap langkah. Saya masih berharap ada peluang untuk bersama Kartika lagi jika keadaan sudah jernih semula,” katanya ketika ditemui Kosmo! di luar Mahkamah Syariah Kuala Kangsar semalam.

Terdahulu Hakim Syarie Burhanuddin Ismi Adam mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Muhammed Afandi, 38, pada pertengahan Oktober 2008 terhadap Kartika Sari Dewi Shu karnor, bekas model sambilan yang kini menunggu hukuman sebat kerana kesalahan minum arak.

Mohamed Afandi yang berkemeja hijau sepanjang prosiding, mengaku lafaz cerai diucapkan dalam keadaan rumah tangga mereka tidak tenang kerana ketika itu Kartika sedang menghadapi tuduhan meminum arak di Mahkamah Syariah Kuantan, Pahang.

Sementara itu, Kartika yang kelihatan sebak dan tidak tenang sepanjang prosiding dijalankan memberitahu dia masih tidak bersedia untuk ‘bersama’ semula dengan Mohamed Afandi dalam masa terdekat.

“Buat masa ini saya tak fikir lagi (merujuk semula). Biarlah saya menenangkan fikiran. Saya hanya berharap dapat menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci (Mekah) secepat mungkin,” katanya.

Begitupun Kartika memberitahu dia dan bekas suami ber setuju kedua-dua anak mereka berada di bawah jagaannya yang kini menetap di Kampung Jawang, Karai dekat sini.

Berdasarkan hukum, Mohamed Afandi dan Kartika perlu melaksanakan akad nikah semula sekiranya ingin menjadi suami isteri semula kerana tempah edah tamat pada Disember 2008 lalu.

No comments:

Post a Comment